KUCHING: Belum sempat menggenggam segulung ijazah, seorang pelajar wanita tahun akhir kini berdepan dengan masalah perbankan selepas terpedaya oleh tawaran kerja sambilan dalam talian sehingga menyebabkan akaunnya dibekukan.
Lebih membimbangkan, tawaran kerja dengan bayaran RM100 sehari itu menyebabkan sebanyak RM32,363 dimasukkan ke dalam dua akaun miliknya dalam tempoh empat hari, sebelum wang berkenaan dipindahkan ke beberapa akaun lain mengikut arahan individu yang menawarkan pekerjaan tersebut.
Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Milton Foo berkata, pelajar berusia 22 tahun itu pada awalnya hanya mahu mencari pendapatan sampingan ketika menjalani latihan industri selama empat bulan di sebuah syarikat tempatan.
“Mangsa menemukan tawaran pekerjaan berkenaan menerusi Facebook sekitar 20 September lalu sebelum dihubungi individu terbabit melalui WhatsApp.
“Dia ditawarkan pekerjaan sambilan berkaitan dengan bidang perakaunan dengan bayaran RM100 sehari.
“Bagaimanapun, skop pekerjaan yang diberikan adalah untuk menerima wang daripada individu tertentu melalui akaun bank miliknya sebelum memindahkannya ke akaun lain berdasarkan arahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SUPP, di sini, hari ini.
Milton berkata, pada 22 dan 23 September lalu, sebanyak RM12,246 dimasukkan ke dalam akaun BSN milik pelajar itu daripada lima individu sebelum dipindahkan ke dua akaun lain.
Katanya, dua hari kemudian, sebanyak RM20,117 pula dimasukkan ke dalam akaun Touch ’n Go miliknya daripada lapan individu sebelum dipindahkan ke enam akaun seperti yang diarahkan.
“Namun, mangsa tidak menerima sebarang bayaran atau upah yang dijanjikan.
“Tidak lama kemudian, individu berkenaan menghilangkan diri dan tidak lagi dapat dihubungi,” katanya.
Menurutnya, pelajar berkenaan mula menyedari dirinya telah dipergunakan selepas akaun BSN miliknya dibekukan.
Katanya, semakan menerusi portal Semak Mule turut mendapati terdapat tiga laporan polis berkaitan dengan akaun berkenaan, masing-masing dibuat di Sentul, Sri Petaling dan Kelana Jaya.
Milton berkata, pelajar berkenaan kemudiannya mendapatkan penjelasan daripada pihak polis sebelum membuat laporan pada 29 September lalu.
“Keadaan ini membimbangkan kerana mangsa masih seorang pelajar tahun akhir yang sedang menjalani latihan industri dan bakal memasuki alam pekerjaan.
“Bayangkan selepas bertahun-tahun belajar dan akhirnya memperoleh ijazah, dia mungkin berdepan dengan kesukaran untuk menguruskan akaun bank, sedangkan kebanyakan majikan menyalurkan gaji melalui sistem perbankan,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan menunjukkan bagaimana seseorang yang menyangka dirinya sedang melakukan pekerjaan biasa boleh tanpa disedari terheret dalam rangkaian transaksi mencurigakan.
Katanya, tawaran pekerjaan yang meminta pencari kerja menggunakan akaun bank peribadi untuk menerima dan memindahkan wang perlu dianggap sebagai tanda amaran.
“Jangan hanya melihat bayaran yang ditawarkan.
“Semak dahulu identiti majikan, skop pekerjaan dan sebab akaun peribadi diperlukan untuk menjalankan transaksi kewangan.
“Jika sesuatu pekerjaan memerlukan kita menerima wang daripada orang yang tidak dikenali sebelum memindahkannya ke akaun lain, kita perlu berhenti dan membuat pengesahan terlebih dahulu,” katanya.
Milton berkata, kes berkenaan turut menjadi peringatan kepada pelajar universiti dan graduan baharu supaya tidak mudah terpedaya oleh tawaran pekerjaan yang diperoleh menerusi media sosial.



