KUCHING: Sepasang suami isteri warga asing dilaporkan selamat selepas terperangkap di tepi pantai berhampiran Damai Golf and Country Club, Jalan Kampung Santubong, petang tadi akibat fenomena air pasang besar.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.53 tengah hari.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 24 kilometer dari balai.
Pasukan tiba di lokasi pada jam 2.17 petang,” menurut kenyataan itu hari ini.
PGO memaklumkan mangsa yang terlibat dikenali sebagai Michael Franch Torggler warga Itali dan Prakong Saengket warga Thailand.
Kedua-dua mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pekerja Damai Golf Club sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Tiada operasi menyelamat susulan diperlukan memandangkan mangsa berada dalam keadaan selamat.
Operasi dikategorikan terkawal pada jam 2.30 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.53 petang,” katanya.

