Terperangkap Jalan terputus digenangi air bah

BINTANGOR: Empat penduduk yang baru selesai menjalani ujian saringan Covid-19 terpaksa ditempatkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila laluan ke kediaman mereka ditenggelami air di Julau, semalam.

Ketua Balai Bomba Bintangor, Nicholas Belulin berkata, mangsa terdiri daripada dua wanita dan dua kanak-kanak yang berusia antara 7 hingga 44 tahun.

Katanya, kesemua mangsa dari Rumah Amba, Nanga Bulo itu, menginap sementara di PPS Dewan Masyarakat Julau.

“Mereka dalam perjalanan pulang namun terkandas apabila laluan menuju rumah panjang terputus akibat banjir,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dua anggota Bomba Bintangor bergegas ke lokasi kejadian dengan menggunakan pacuan empat roda selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.55 petang.

Sebaik tiba di Nanga Lijan pada 6.00 petang katanya, pasukannya mendapati jalan raya di kawasan tersebut ditenggelami air sedalam 1.2 meter dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan.

“Kami tidak dapat meneruskan perjalanan ke lokasi ke Rumah Akun, Nanga Lijan dan berpatah balik ke Dewan Masyarakat Julau untuk mendapatkan maklumat mangsa yang ditempatkan di situ daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.

Mangsa berada di pusat pemindahan sementara (PPS)

Suara Sarawak