PENDATANG baharu dalam industri muzik tanah air melancarkan sebuah album pertamnya berjudul Teruntuk Jantung yang kini menjadi pilihan pendengar di pelbagai platform seperti Spotify.
Naki, jejaka tampan atau nama sebenarnya Mohd Naqiuddin Zainal Abidin mengeluarkan album tersebut pada November lalu yang terinspirasi daripada kisah yang akhirnya berakhir dengan perasaan bahagia, nafsu, kesedihan dan penerimaan.
Kongsi anak kelahiran Miri ini, dia mula menulis lagu untuk album ini sejak Disember 2023 bersama-sama seorang produser berbakat dari Kuching.
“Album ini terbahagi kepada dua bahagian. Idea bagi album yang pertama adalah untuk mencari kebahagian, manakala album kedua akan memfokuskan kepada kerelaaan terhadap sesuatu yang sudah tiada,” kongsinya kepada Suara Sarawak.
Tambahnya, album ini mendapat sokongan dan maklum balas yang membina daripada peminat-peminatnya.
Ditanya tentang cabaran, pemuda berusia 29 tahun ini berkata, cabaran utama yang dihadapi ketika merakam lagu untuk album ini.
“Cabaran yang saya hadapi adalah saya merakam separuh lagu yang ada dalam album ini di bilik produser saya dalam keadaan kepanasan.
“Saya perlu membuat sendiri rekaan pada album saya termasuk buku lirik dan sebagainya.
“Namun, cabaran ini tidak mematahkan semangat saya ketika ingin mengeluarkan album ini kerana kehadiran rakan-rakan yang sentiasa membantu saya.
“Bahkan, saya juga pernah hampir setiap hari pulang pada jam 4.00 pagi dari studio untuk menyiapkan rakaman lagu-lagu bagi album ini.
“Namun, setiap kali ke rumah Darien, pasti ibunya akan memasak pelbagai hidangan makanan laut ketika kami ke sana untuk rakaman lagu,” kongsinya lagi.
Menjelas lanjut, Naki berharap pendatang baharu dalam industri muzik keluar dari zon selesa mereka. “Anda perlu keluar dari zon selesa anda kerana kita tidak tahu keupayaan yang kita ada jika kita tidak pernah mencuba.
“Saya sendiri mula dengan lambat dalam menghasilkan lagu, namun tiada istilah yang mengatakan ia sudah terlambat untuk menghasilkan karya yang bagus,” katanya.



