KUCHING: Rakyat Sarawak digesa untuk terus mengekalkan semangat bersatu padu dalam usaha menuntut serta memperjuangkan hak dan kuasa autonomi negeri ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ia penting supaya kerajaan dapat memfokuskan usaha mendapatkan semula hak-hak autonomi kerana masih terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan ketika ini.
“Kita memerlukan autonomi kesihatan, kita perlu autonomi pendidikan dan kita juga memerlukan lebih banyak perkongsian cukai yang dikutip Kerajaan Persekutuan.
“Justeru, saya menggesa kesemua rakyat Sarawak untuk terus bersatu padu dan mengetahui betapa pentingnya ‘Utamakan Sarawak’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) 2024 Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Beliau juga menambah, rakyat Sarawak juga perlu terus bersatu padu dalam tempoh pembinaan negara bangsa.
“Ini kerana pembinaan negara bangsa tersebut juga bermakna kita akan melakukan sesuatu yang besar kepada negeri ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan turut berhasrat untuk melaksanakan pelbagai perkara dalam pendidikan anak-anak Sarawak, menjaga kesihatan rakyat di samping melakukan pembangunan infrastruktur.
“Itu merupakan sebahagian daripada keterangkuman sosial di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) termasuk megagihkan limpahan kekayaan ekonomi kepada seluruh rakyat negeri ini.

“Disebabkan itu saya melihat penting untuk rakyat kekal bersatu, kerana usaha ini memakan sedikit masa – pembinaan negara bangsa bukan hanya satu malam,” tegasnya.
Bersempena dengan Tahun Naga ini, beliau juga berharap agar Sarawak juga dapat melonjak tinggi seperti naga dengan semangat bersatu padu.
Hadir sama Yang di-Pertua Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi; Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isterinya, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof; serta tetamu yang lain.


