BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand telah menggantung seorang ketua penjara di Bangkok berhubung dakwaan bahawa banduan berprofil tinggi warga China diberikan akses kepada wanita di sel persendirian dan keistimewaan lain, kata Kementerian Kehakiman.
Skandal itu meletus minggu lalu selepas media tempatan melaporkan dua wanita China dibenarkan masuk ke Penjara Reman Bangkok untuk melawat banduan, didakwa untuk menyediakan perkhidmatan seks, menimbulkan persoalan tentang siapa yang membenarkan kemasukan mereka.
Penjara berkenaan menahan lebih 4,000 lelaki yang menunggu perbicaraan, dan telah menahan beberapa penjenayah paling terkenal di Thailand, termasuk penipu warga China, She Zhijiang, yang telah diekstradisi awal bulan ini.
Pada Isnin, Kementerian Kehakiman menggantung tugas komander penjara dan setiausahanya, seorang pegawai pembetulan kanan, menurut satu kenyataan kementerian itu.
Menteri Kehakiman Rutthapon Naowarat berkata, kes yang melibatkan pegawai penjara “yang didakwa memihak kepada banduan warga China” “dikendalikan berdasarkan bukti”, menurut kenyataan yang dikeluarkan lewat Isnin.
Dalam satu kenyataan terdahulu, kementerian itu mendedahkan bahawa penggeledahan penjara telah menemui “salah laku dan barang terlarang”, termasuk kondom, tembakau dan alkohol.
“Dua wanita warga China ditemui bersendirian dengan seorang banduan di dalam sel yang sedang diubah suai untuk dijadikan bilik penerimaan bagi pegawai kanan,” katanya.
Sebuah meja, sofa dan peti sejuk — kemewahan yang biasanya tidak diberikan kepada banduan berada di dalam sel tersebut.
“Penemuan awal termasuk kotak kondom, kesan cecair badan pada kertas tisu dan kesan yang menyerupai air mani,” yang dihantar kepada penyiasat forensik, kata kenyataan minggu lalu.
Walaupun rakaman CCTV telah dipadamkan, namun beberapa video yang ditemui menunjukkan keduadua wanita terbabit memasuki penjara, tambahnya.
Rutthapon memberitahu pemberita pada Sabtu bahawa pasangan itu memasuki penjara mengikut prosedur standard, bukan melalui laluan rahsia, yang katanya mencadangkan bahawa beberapa pegawai mungkin terlibat.
Menurut kenyataan Kementerian Kehakiman sebelum ini, kedua-dua wanita itu menafikan terlibat dalam kerja seks.
Kira-kira 20 pegawai, termasuk warden dan kakitangan peringkat bawahan, dituduh terlibat dalam salah laku, kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa “tiada pegawai yang terlibat dalam pembelian perkhidmatan seksual.”
Beberapa banduan yang terlibat dalam skandal itu telah dipindahkan ke penjara lain, kata kementerian itu.
Badan pemantau antirasuah, Transparency International, meletakkan Thailand di tangga ke-107 daripada 180 negara berdasarkan indeks persepsi rasuah terkininya.



