GEORGE TOWN: Pengarah filem Tamil tempatan, Viknes Perrabu, tampil dengan filem Melayu pertamanya, The Keris, yang mengangkat warisan keris, seni persilatan dan legenda Hang Tuah.
Viknes berkata filem yang mula ditayangkan hari ini lahir daripada minatnya terhadap sejarah serta hasrat menghasilkan karya yang dapat dinikmati semua kaum. Idea asal bertemakan seni silambam kemudian diubah kepada silat dan Hang Tuah bagi mengetengahkan warisan tempatan.

Beliau mendapatkan khidmat Datuk Zulkifli M. Osman dan beberapa penasihat bagi memastikan penggunaan bahasa, fakta sejarah serta budaya Melayu dipersembahkan dengan tepat.
Pembangunan filem itu mengambil masa hampir dua tahun.
Penerbit Dr N. Matheyalagan berkata kos penerbitan meningkat kepada RM2.2 juta susulan pembinaan set, penggambaran di beberapa lokasi dan pembabitan lebih 200 kru. Pihak produksi turut merancang membawa filem itu ke platform penstriman antarabangsa.
The Keris dibintangi Syazlie Syazz, Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Raja Azrey dan Datuk Jalaluddin Hassan.
Filem itu turut akan ditayangkan di Singapura bermula 9 Julai seperti dipetik Bernama.







