Berbekalkan minat, semangat dan pengorbanan, sekumpulan anak muda dari Sarawak kini bersedia mencipta nama dalam industri muzik tanah air menerusi penubuhan kumpulan lelaki pertama dari negeri ini yang dikenali sebagai The Next.
Namun, di sebalik impian itu, tersembunyi perjalanan panjang yang tidak mudah, dipenuhi tapisan, keraguan dan pengorbanan yang tidak semua orang sanggup lalui.
Dianggotai oleh Mike Harris Eddie Kuwing (Mikey), 21; Bryan Luna Rowland (Bryx), 20; Mohamad Fariz Izwan (Rizze), 19; Arthur Elvis Josh Magdalene (Elvis), 18; dan Nur Afif Azrai Zahin (Fiv), 17, setiap ahli membawa peranan tersendiri, daripada vokal utama, penyanyi rap, penari hingga visual dalam membentuk identiti mereka sebagai kumpulan lelaki dari Sarawak.
Menurut Mikey, perjalanan The Next bermula sejak 2022, namun ketika itu hanya dua ahli yang benar-benar rasmi.
“Pada masa itu hanya saya dan Bryx.
Kemudian, pada Ogos 2023, Rizze diterima melalui uji bakat, Fiv mula menyertai kumpulan kami pada 2024 dan Elvis pula menyertai kami pada 2025.
Jadi, perjalanan kami memang mengambil masa dan melalui banyak proses,” jelasnya.
Bryx turut menambah proses pemilihan ahli bukan sesuatu yang mudah apabila ramai yang mencuba nasib.
“Sebenarnya ramai yang menyertai uji bakat, tetapi tidak semua melepasi tapisan.
Daripada kira-kira 10 orang ketika itu, hanya kami yang terpilih,” katanya.
Mengangkat konsep hip-hop sebagai permulaan, The Next tampil dengan pendekatan muzik yang segar dan moden, selain turut menggunakan pelbagai bahasa dalam karya mereka.
Menurut Mikey, konsep ini hanyalah permulaan kepada perancangan yang lebih besar.
“Kami ingin membawa industri muzik Sarawak ke peringkat lebih tinggi, termasuk ke pasaran global,” ujarnya.
Debut rasmi kumpulan ini dijangka berlangsung sekitar bulan ini dengan pelancaran muzik video pertama mereka, yang dianggap sebagai langkah penting dalam memperkenalkan The Next kepada umum.
Namun, di sebalik keterujaan itu, cabaran tetap menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka, terutamanya dari segi kewangan dan masa.
Menurut Bryx, mereka kini bergerak sebagai kumpulan bebas selepas menamatkan kontrak dengan syarikat terdahulu, sekali gus memerlukan usaha sendiri untuk menampung kos.
“Kami sekarang merupakan kumpulan bebas (indie group).
Semua persiapan debut ini adalah atas usaha sendiri, termasuk mengumpul kewangan antara ahli,” katanya.
Beliau turut mendedahkan kos keseluruhan bagi projek muzik video mereka mencecah sekitar RM30,000, termasuk rakaman, produksi dan keperluan teknikal lain.
Selain itu, faktor jarak juga menjadi cabaran apabila ada ahli yang perlu berulang-alik dari luar Kuching untuk menghadiri latihan.
“Elvis datang dari Miri ke Kuching, manakala saya dari Sibu. Jadi, hal itu memang mencabar dari segi kewangan dan masa,” jelas Bryx.
Dalam masa yang sama, komitmen sebagai pelajar turut menuntut mereka mengimbangi antara akademik dengan minat dalam bidang seni.
Bagi Rizze dan Fiv, cabaran menjadi lebih terasa apabila latihan dilakukan pada Ramadan.
“Bagi kami yang berpuasa, memang agak mencabar, tetapi kami tetap meneruskan latihan sama ada sebelum atau selepas berbuka.
Ahli lain juga memahami keadaan kami,” jelas Rizze.
Fiv pula mengakui keletihan adalah perkara biasa, namun minat menjadi kekuatan utama untuk terus bertahan.
“Jika penat, saya akan berehat seketika dan kemudian menyambung semula.
Kami saling memahami dan akan memberitahu ahli lain jika kami tidak mampu untuk meneruskan latihan,” ujarnya.
Walaupun jadual latihan padat, kumpulan ini mengambil keputusan untuk memberi ruang kepada ahli yang menyambut Hari Raya bagi meluangkan masa bersama-sama keluarga.
“Setakat ini, kami tiada latihan pada Hari Raya kerana ahli kumpulan kami memahami kepentingan masa bersamasama keluarga.
Kami juga menyasarkan penggambaran muzik video selesai sebelum Hari Raya,” kata Rizze.
Dalam perjalanan mereka, sokongan keluarga memainkan peranan penting walaupun tidak semua menerimanya pada peringkat awal.
Elvis berkongsi keluarganya pada mulanya kurang yakin, namun mula memberikan sokongan selepas melihat kesungguhan dan perkembangan kumpulan tersebut.
“Sekarang mereka sudah percaya dan menyokong apa yang saya lakukan,” katanya.
Rizze pula mengakui pernah merahsiakan pelibatannya dalam kumpulan itu kerana bimbang dengan reaksi keluarganya yang mementingkan pelajaran.
“Pada awalnya, keluarga tidak begitu menyokong, tetapi selepas saya menunjukkan keputusan akademik yang baik dan berjaya memasuki universiti, mereka mula memberikan kepercayaan kepada saya,” katanya.
Bagi Mikey, pengalaman menyertai pertandingan, termasuk di luar negara, memberi kesan besar dalam membentuk semangatnya.
“Saya pernah menyertai pertandingan di Korea Selatan yang dikenali sebagai Universal League, tetapi tersingkir pada minggu kedua.
Itu memang pengalaman yang sukar, tetapi saya jadikan sebagai motivasi untuk terus berusaha,” katanya.
Ketika mengimbau detik itu, emosinya jelas tidak dapat disembunyikan.
Air mata mengalir bukan kerana kekalahan semata-mata, tetapi kerana impian yang hampir terhenti di tengah jalan.
Daripada kegagalan itu, lahir satu tekad untuk membuktikan bakat anak Sarawak juga mampu berdiri di pentas yang lebih besar.
Katanya, pengalaman tersebut membuatkan beliau ingin membuktikan bakat dari Sarawak juga mampu mendapat perhatian yang lebih luas.
Dalam usaha memperkukuh persembahan mereka, The Next turut mendapatkan khidmat koreografer dari Indonesia yang merupakan kenalan kepada Bryx.
“Kami percaya akan kebolehan beliau kerana berpengalaman menghasilkan koreografi untuk artis di Indonesia, contohnya No Na,” jelasnya.
Selain itu, kumpulan ini juga mendedahkan lagu debut mereka dihasilkan dengan sentuhan individu yang pernah terlibat dalam produksi lagu antarabangsa, sekali gus memberikan keunikan kepada konsep yang dibawa.
Melihat ke hadapan, setiap ahli mempunyai harapan tersendiri terhadap perjalanan The Next.
Antaranya termasuk mendapatkan sokongan daripada rakyat Malaysia, membanggakan keluarga serta membuktikan bidang muzik mampu memberikan masa depan yang baik.
“Kami mahu orang nampak usaha kami dan menerima kami seadanya.
Walaupun ada komen negatif, kami anggap itu sebagai pembakar semangat untuk terus memperbaiki diri,” kata Rizze.
Fiv pula berharap agar usaha mereka dapat dilihat oleh peminat, manakala Elvis menyimpan impian untuk melihat The Next membuat persembahan di pentas besar, iaitu pembukaan Sukan SEA 2027 dan sambutan Tahun Baharu 2027, serta bekerjasama dengan artis tempatan seperti Dayang Nurfaizah, Hafiz Suib, Aina Abdul, Ernie Zakri dan Aisha Retno.
Dengan segala cabaran yang dilalui, daripada kekangan kewangan, jarak dan masa hingga penerimaan keluarga, The Next kini bersedia untuk melangkah ke hadapan dengan satu matlamat yang jelas, iaitu membawa nama Sarawak lebih jauh dalam industri muzik. — ALESSANDRO SYLVA ( PELATIH UNIMAS )


