BINTULU: Tragedi kebakaran yang memusnahkan 16 rumah setinggan di Sungai Plan, Jalan Tanjung Kidurong, pada 7 April lalu, menyebabkan 92 penduduk, terdiri daripada 65 orang dewasa dan 27 kanak-kanak, kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata.
Prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa, The Salvation Army Bintulu melalui Pusat Komunitinya segera menyalurkan bantuan awal berupa makanan, kelengkapan harian, dan keperluan asas kepada keluarga yang terkesan, dalam usaha meringankan beban sementara mereka mencari ruang untuk bangkit semula.

Pegawai Kor Salvation Army Bintulu, Kapten Daniel Lim, berkata pihaknya terpanggil untuk membantu kerana memahami keperitan yang dihadapi oleh mangsa, terutama melibatkan kanak-kanak yang terpaksa berhadapan dengan kehilangan kediaman dan suasana tidak menentu.
“Kita sangat bertuah kerana hidup dalam keadaan selesa, sedangkan mereka kehilangan segalanya dalam sekelip mata.
Inilah masanya kita semua, sebagai satu komuniti, memainkan peranan dengan menghulurkan bantuan, tidak kira besar atau kecil. Apa yang penting, ia lahir dari hati yang ikhlas,” ujarnya.
Beliau turut menyeru masyarakat setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan syarikat-syarikat swasta untuk tampil bersama menyumbang dalam bentuk wang tunai, barangan keperluan, atau tenaga sukarela bagi membantu mangsa kembali bangkit meneruskan kehidupan.
“Bantuan bukan hanya untuk hari ini, malah kami berusaha memastikan bantuan jangka panjang diteruskan agar mereka benar-benar dapat berdiri semula.
Apa yang kita beri hari ini akan menjadi harapan buat mereka esok,” tambahnya.
Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan atau menyertai pasukan sukarelawan boleh menghubungi Kapten Daniel Lim di talian +60-11-14029741.
Setiap sumbangan akan membawa makna besar dalam mengembalikan senyuman kepada mereka yang terjejas, ujar Daniel.

