ARTIKEL

Datuk Sebastian Ting bercakap pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran The Tapang Club. Foto Alverdtekoster Anyap.

The Tapang Club pacu sukan, pelancongan dan ekonomi komuniti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pembukaan The Tapang Club dekat Kampung Keranji di sini dilihat mampu menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan sukan, pelancongan serta aktiviti gaya hidup sihat di Sarawak, selain membuka peluang kepada pembangunan bakat baharu dalam kalangan atlet tempatan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting berkata, kemunculan kelab integrasi pertama seumpamanya di Asia itu merupakan pencapaian penting buat Sarawak, khususnya menerusi usaha sektor swasta membangunkan kemudahan bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata, idea pembangunan The Tapang Club yang bermula kira-kira tiga tahun lalu kini berjaya direalisasikan menerusi komitmen dan visi pihak pengurusan.

Datuk Gerald Rentap Jabu bercakap pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran The Tapang Club. Foto Alverdtekoster Anyap.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Raymond Tay, Darren Wee serta seluruh pasukan yang menjayakan projek luar biasa ini.

“Ini sesuatu yang membanggakan untuk Sarawak kerana kita mempunyai kemudahan sebegini yang dibangunkan di kawasan Bau. Apabila ada kemudahan seperti ini, orang ramai sanggup datang dari Kuching dan kawasan lain,” katanya. pada sidang media selepas Majlis Pelancaran The Tapang Club di sini, hari ini.

Sebastian berkata, kedudukan The Tapang Club yang hanya sekitar 30 hingga 45 minit perjalanan dari Kuching menjadikannya lokasi strategik untuk menarik pengunjung, sama ada bagi tujuan latihan sukan, pertandingan mahupun aktiviti rekreasi.

Menurutnya, kemudahan tersebut bukan sahaja menyediakan ruang untuk pembangunan sukan, malah mampu mewujudkan ekosistem gaya hidup sihat menerusi gabungan aktiviti sukan, pemakanan serta kesejahteraan.

“Saya percaya selepas beberapa tahun akan datang, kita akan melihat lahirnya juara-juara baharu daripada sini. Dengan kemudahan bertaraf sebegini, segala persediaan sudah tersedia untuk pembangunan sukan terbaik,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pembangunan The Tapang Club sebagai pelaburan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat, khususnya menerusi peluang ekonomi dan aktiviti yang bakal dijalankan.

Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, kewujudan kemudahan berkenaan membuktikan bagaimana semangat dan minat mendalam mampu merealisasikan sesuatu projek yang memberi impak kepada masyarakat.

Beliau berkata, The Tapang Club menyediakan platform baharu untuk pembangunan atlet serta penganjuran pelbagai aktiviti sukan bertaraf tinggi.

“Kemudahan seperti ini boleh menjadi lokasi untuk kita membangunkan juara baharu. Ia menyediakan satu lagi venue untuk kita menganjurkan kejohanan seperti badminton, pickleball dan pelbagai acara sukan lain,” katanya.

Menurutnya, kemudahan gelanggang yang menggunakan permukaan bertaraf antarabangsa membolehkan Sarawak mempunyai lebih banyak pilihan lokasi untuk menjadi tuan rumah kejohanan sukan.

Selain aspek sukan, beliau berkata The Tapang Club turut memberi peluang pembangunan keusahawanan menerusi penglibatan komuniti dalam penyediaan perkhidmatan seperti makanan dan aktiviti sokongan lain.

“Apabila lebih ramai orang datang ke sini, ia akan mewujudkan peluang pekerjaan dan ruang kepada usahawan tempatan untuk terlibat,” katanya.

Gerald berkata, lokasi The Tapang Club yang berhampiran Kuching serta kemudahan yang disediakan memberi nilai tambah kepada pembangunan sukan, rekreasi dan aktiviti gaya hidup sihat di kawasan berkenaan.

Beliau yakin pembangunan The Tapang Club yang memasuki fasa pertama itu akan terus berkembang menerusi perancangan fasa seterusnya, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai destinasi sukan dan rekreasi bertaraf serantau.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU