Tiada aksi tenis dunia di Kuching

KUCHING yang menjadi destinasi kejohanan tenis dunia sejak 10 tahun kebelakangan ini tidak akan menganjurkan kejohanan antarabangsa itu sehingga Jun depan.
Demikian jelas Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA), Datuk Patrick Liew.
“Tiada sebarang kejohanan dunia untuk tempoh enam bulan ini. Kita hanya anjurkan kejohanan peringkat tempatan,” ujarnya.
Ini disebabkan keadaan pandemik Covid-19 yang masih membimbangkan, di samping pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi Sarawak.
Ia juga berkaitan dengan pengumuman darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Kebiasaannya SLTA akan menganjurkan tiga kejohanan peringkat dunia kategori remaja.
Namun menurut Patrick, SLTA tidak menolak kemungkinan meneruskan penganjuran kejohanan berstatus antarabangsa selepas itu.
“Kita ada memohon kebenaran daripada pihak berwajib untuk meneruskan penganjuran,” katanya.