SIBU: Kerajaan Sarawak terus memperluas akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang keluarga, lokasi dan kemampuan kewangan bagi memastikan setiap anak negeri berpeluang membina masa depan lebih baik.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendidikan berkualiti bukan keistimewaan golongan tertentu, sebaliknya hak yang perlu dinikmati setiap anak Sarawak.
Pendidikan merupakan instrumen penting untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat kerana mampu membuka peluang, memperluas pengetahuan dan mengubah kedudukan sosioekonomi seseorang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Ke-11 Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, di sini, hari ini.
Kerajaan negeri komited membangunkan ekosistem pendidikan lebih inklusif, khususnya bagi menangani cabaran geografi Sarawak menerusi penyelesaian praktikal dan pelaburan berterusan.
Antara inisiatif dilaksanakan ialah penubuhan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak yang menawarkan pendidikan bertaraf antarabangsa menerusi kurikulum Cambridge, terutama kepada pelajar dari komuniti luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah.
Pada peringkat pengajian tinggi, kerajaan turut melaksanakan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) mulai 2026 untuk anak Sarawak yang layak di institusi pengajian tinggi milik negeri terpilih.
Institusi terbabit ialah Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Curtin Malaysia dan Kolej Universiti i-CATS.
Skim itu dibiayai menggunakan sumber kewangan Sarawak sendiri, termasuk Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri menjadikan pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang untuk pembangunan rakyat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tanggungjawab kerajaan bukan sekadar menyediakan pendidikan tinggi tanpa yuran, malah turut merangkumi usaha memperkukuh asas pembelajaran di peringkat sekolah.
Sehubungan itu, kerajaan negeri mempergiat Program Peningkatan Pendidikan Sarawak (SEEP) menerusi intervensi akademik bersasar, kelas tambahan percuma dan bengkel bagi meningkatkan kefahaman serta prestasi pelajar, selain merapatkan jurang pembelajaran.
Kerajaan negeri turut membiayai pembinaan makmal sains bersama di setiap daerah bagi membolehkan pelajar dari sekolah yang tidak mempunyai kemudahan makmal khusus menjalankan eksperimen secara praktikal.
Abang Johari menegaskan, kerajaan negeri akan terus melabur dalam sektor pendidikan kerana masa depan Sarawak bergantung kepada keupayaan, aspirasi dan pencapaian rakyatnya.


