MUKAH: Empat atlet Persatuan Wushu Bahagian Mukah mengharumkan nama bahagian itu apabila berjaya membawa pulang pingat pada Kejohanan Wushu Remaja Kebangsaan KPM-WFM Kali Ke-15 Tahun 2026 di KSL Esplanade Mall, Klang, Selangor, baru-baru ini.
Sebagai penghargaan atas pencapaian itu, kesemua atlet berkenaan menerima angpau daripada Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip.

Menurut Peleadzman, kejayaan tersebut amat membanggakan dan wajar diberikan pengiktirafan bagi mendorong atlet muda terus meningkatkan prestasi dalam sukan.
“Empat atlet terbabit ialah Benson Hii Nian You, Gladys Ho Shu Xuen, Daniel Tu Zheng Jin dan Awangku Haziq Awangku Kamarul yang masing-masing menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam disiplin yang disertai,” katanya.

Beliau berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda di Mukah untuk menceburi bidang sukan, mengembangkan bakat dan membuktikan kemampuan masing-masing dalam pertandingan pada peringkat negeri serta kebangsaan.
Terdahulu, Benson, 15, pelajar SMK Three Rivers, Mukah, meraih pingat emas dalam acara Nanquan dan perak bagi Nangun Kumpulan A.

Gladys, 12, murid SJKC Chin Hua, Dalat, pula membawa pulang pingat gangsa dalam acara Nanquan Kumpulan C.
Daniel, 12, dari SJKC Ek Hua menyertai tiga acara Kumpulan B, iaitu Changquan, Jianshu dan Qiangshu.
Sementara itu, Awangku Haziq, 15, pelajar SMK Three Rivers, Mukah, meraih pingat gangsa dalam disiplin Sanda kelas 56 kilogram bagi kategori bawah 15 hingga 17 tahun.




