KUCHING: Anjing yang dikurung di dalam kawasan rumah tidak boleh ditembak dengan ubat pelali untuk membolehkan ia divaksinkan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau menegaskan ini adalah salah satu arahan yang diberikan kepada pasukan penguatkuasaan yang terlibat dalam operasi anti rabies yang dijalankan.
“Operasi anti rabies adalah sangat mencabar dan kadang-kadang bukan mudah untuk penguatkuasaan menangkap anjing terutama yang liar.
“Tetapi kami telah memberikan arahan yang sangat jelas bahawa anjing yang ada di dalam kawasan rumah harus divaksin dan tidak boleh menembaknya mengunakan ubat pelali,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Pertanian Sarawak dan Earthling Coffee Workshop Sdn Bhd di Auditorium Mahkamah Lama di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai video tular di media sosial yang dikongsikan orang awam menunjukkan anggota penguatkuasaan operasi rabies menembak anjing dengan ubat pelali di dalam kawasan sebuah rumah.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata beliau sudah melihat video berkenaan dan sedang menunggu laporan penuh mengenainya.
“Kami akan mengkaji semula operasi ini pada 9 April dan mereka akan menjelaskan kepada saya untuk ‘post mortem’,” katanya.