KUCHING: Tiada gangguan bekalan air dijadualkan setakat ini susulan kebocoran yang disyaki berlaku pada saluran paip utama berdiameter 1,100 milimeter di Jalan Matang.
Sarawak Water berkata, pasukan teknikalnya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi menentukan lokasi sebenar dan tahap kebocoran sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Menurutnya, saluran paip keluli lembut berlapis simen (MSCL) itu merupakan antara paip utama yang menyalurkan air terawat ke Takungan Bukit Siol.
“Takungan ini membekalkan air kepada pengguna di Kuching, Petra Jaya dan kawasan sekitarnya.
“Sebagai sebahagian daripada siasatan, Sarawak Water perlu mengakses injap pengasingan yang terletak di pembahagi jalan bagi membolehkan saluran paip itu diasingkan dengan selamat dan diperiksa lebih lanjut.
“Kami kini bekerjasama rapat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memudahkan kerja penggalian yang diperlukan serta memastikan akses selamat ke injap berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Sarawak Water menjelaskan, sebarang kerja pembaikan akan dirancang dengan teliti bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna.

“Ini memandangkan saluran paip itu merupakan antara saluran utama yang membekalkan air terawat ke Kuching dan kawasan sekitarnya,” ujarnya.
Tambahnya, kaedah pembaikan dan jadual pelaksanaan yang paling sesuai akan ditentukan selepas siasatan selesai.
Dalam pada itu, katanya, sekiranya kerja pembaikan memerlukan gangguan sementara bekalan air, notis rasmi akan dikeluarkan lebih awal dengan menyertakan butiran kawasan terjejas dan jangkaan tempoh gangguan.
“Notis ini turut merangkumi langkah mitigasi yang akan dilaksanakan bagi membantu pengguna terjejas,” tambahnya.
Sementara itu, ujarnya, penghadang keselamatan, papan tanda amaran dan langkah kawalan lalu lintas telah dipasang di sekitar kawasan berkenaan.
“Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi semua arahan lalu lintas ketika melalui Jalan Matang Batu 6,” tegasnya.
Sarawak Water memberi jaminan bahawa situasi berkenaan dipantau dengan teliti dan segala langkah perlu sedang diambil bagi memastikan kerja dapat dilaksanakan dengan selamat, cekap serta meminimumkan kesulitan kepada pengguna.
“Orang ramai digalakkan merujuk saluran komunikasi rasmi Sarawak Water bagi mendapatkan perkembangan sahih mengenai situasi itu,” katanya.



