KUCHING: Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen menasihati Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah supaya tidak seperti budak kecil yang merengek.

Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak dan Adun Kota Sentosa berkata demikian ketika mengulas kenyataan Abdul Karim mengenai liputan RTM terhadap ketua menteri dan menteri-menteri negeri ini sebagai berat sebelah.

“Saya tahu Abdul Karim mengadu bahawa RTM tidak bersikap adil kepada Kerajaan Sarawak.

“Saya ingin ingatkan Abdul Karim, di bawah pemerintahan BN sebelum ini mereka mempunyai 100 peratus liputan dan pembangkang kosong peratus daripada RTM,” katanya.

“Sekarang, sekiranya tidak 50-50, perbezaannya tidak juga jauh berbeza. Sebab itu saya rasa beliau tidak selesa dengan liputan kurang,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini semalam.

Terdahulu, Abdul Karim semasa sidang media di Dun Sarawak menyatakan tiada makna liputan program Kerajaan Sarawak tanpa menayangkan wajah Ketua Menteri dan menteri-menteri negeri.

Karim turut mendakwa RTM mungkin membuat 181 liputan aktiviti melibatkan ketua menteri dan menteri-menteri negeri tetapi tidak melakukannya sebaik mungkin.

“Apa yang saya katakan ini bukanlah tidak berasas. Saya perhatikan mereka. Rakyat Sarawak juga memerhatikan mereka. Kita bukannya bodoh. Kalau program-program itu dihadiri ketua menteri, anda pasti tidak akan nampak wajahnya keesokan hari.

“Apa yang anda cuba tunjukkan? Ini bermakna anda bermain politik. Ia seperti melepaskan batuk di tangga,” katanya.

Sementara itu, RTM dalam kenyataan balas menyatakan untuk berusaha sebaik mungkin membuat liputan semua aktiviti di negeri ini, dan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sudah membuat 181 liputan aktiviti melibatkan ketua menteri, menteri-menteri negeri dan Kerajaan Sarawak.

“RTM menyiarkan laporan tersebut melalui pelbagai platform. Ini termasuk dalam program berita ehwal semasa di radio, televisyen dan media sosial,” kata kenyataan RTM.