MIRI: Tiada penutupan jalan akan dilaksanakan di daerah Miri sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, kata Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah.
Bagaimanapun, beliau menasihati pengguna jalan raya supaya memperlahankan kenderaan dan meningkatkan kewaspadaan ketika melalui kawasan pusat penamaan calon, serta pusat penjumlahan undi berikutan jangkaan kehadiran orang ramai.
“Setakat ini, tiada penutupan laluan jalan raya di daerah Miri sepanjang tempoh pilihan raya negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Farhan berkata 272 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan pada hari penamaan calon dengan tumpuan terhadap aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran trafik sepanjang tempoh pilihan raya.
Antara lokasi yang dijangka menerima kehadiran orang ramai ialah Dewan Masyarakat Bekenu (Bekenu); Dewan Muhibbah, Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak; Kompleks Islam Sarawak; Dewan Sri Gemilang Sekolah Kebangsaan (SK) Anchi dan Dewan Intrim, ADTEC JTM Kampus Miri.
Dalam pada itu, Mohd Farhan berkata 585 pegawai dan anggota polis akan digerakkan sepanjang tempoh pilihan raya berkenaan merangkumi hari penamaan calon, tempoh berkempen dan hari penjumlahan undi bagi memastikan keseluruhan proses di daerah ini berjalan lancar, aman dan teratur.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta menjaga ketenteraman awam sepanjang tempoh berkenaan.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri akan memastikan proses demokrasi berlangsung dalam keadaan aman, selamat, teratur dan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau turut mengharapkan kerjasama semua pihak agar keseluruhan proses PRN di daerah ini berlangsung dalam suasana harmoni dan terkawal.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRN Sarawak ke-13 berlangsung esok, pengundian awal pada 8 Dis, manakala hari pengundian pada 12 Dis.
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.
— BERNAMA

