KUCHING: Perbuatan seorang bapa melakukan jenayah seksual secara berulang terhadap tiga anak perempuan kandungnya sejak beberapa tahun lalu berakhir dengan hukuman penjara 40 tahun dan 15 sebatan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, lelaki tempatan berusia 41 tahun itu dijatuhi hukuman berkenaan selepas berdepan tiga pertuduhan berkaitan kesalahan seksual di Mahkamah Kuching.
Menurutnya, kes berkenaan terbongkar susulan laporan polis yang diterima pada 23 November lalu, sebelum siasatan lanjut dijalankan sehingga membawa kepada pendakwaan terhadap lelaki terbabit.
“Hasil siasatan mendapati perbuatan jenayah seksual terhadap ketiga-tiga mangsa dilakukan secara berulang dalam tempoh beberapa tahun,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Alexson, lelaki berkenaan didakwa atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan serta dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Katanya, mahkamah menjatuhkan hukuman keseluruhan penjara 40 tahun dan 15 sebatan, dengan kesemua hukuman penjara diperintahkan berjalan secara berasingan.
“Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan pihaknya memandang serius jenayah seksual, khususnya yang membabitkan kanak-kanak serta dilakukan oleh ahli keluarga sendiri.
“Sehubungan itu, orang ramai digesa supaya sentiasa peka terhadap keselamatan kanak-kanak dan tidak teragak-agak membuat laporan polis sekiranya mengesyaki berlaku sebarang bentuk penderaan seksual,” katanya.
/tamat/


