JULAU: Siasatan polis mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia akibat lewat dihantar ke hospital, tanpa sebarang unsur penderaan fizikal.
Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada 25 Oktober lalu di Hospital Sibu akibat pendarahan dalam otak.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati tiada kesan penderaan dikesan pada tubuh mangsa, namun ibu mangsa berusia 21 tahun ditahan selepas disyaki mengabaikan tanggungjawab menjaga anaknya sehingga menyebabkan kecederaan serius.
“Penahanan dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau pada 21 Oktober sekitar jam 8 malam selepas menerima laporan berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, laporan diterima pada hari sama sekitar jam 3.30 petang apabila kanak-kanak terbabit dihantar ke Wad Kecemasan Hospital Sibu dalam keadaan kritikal dengan pendarahan otak dan retak pada tengkorak kepala.
Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa tidak mendapat penjagaan sewajarnya sebelum kejadian berlaku dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak kepada situasi yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.
“Suspek dituduh di Mahkamah Sesyen Sarikei pada 31 Oktober lalu. Tiada pengakuan direkodkan dan tiada jaminan ditawarkan. Tertuduh kini direman di Penjara Sibu sehingga sebutan semula kes pada 13 November ini,” katanya.

