ARTIKEL

Razi ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini. FOTO: TANGKAP LAYAR

Tiada Ketua Isi Rumah miskin tegar di Sarawak – Statistik eKasih

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tiada Ketua Isi Rumah (KIR) dikategorikan sebagai miskin tegar di Sarawak termasuk di daerah Kabong setakat 1 Oktober tahun ini, berdasarkan statistik kemiskinan eKasih.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata data tersebut adalah berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Miskin Tegar 2022, iaitu RM1,298 sebulan.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat 32,430 KIR dikategorikan sebagai miskin di negeri ini, manakala 726 KIR berada dalam kategori miskin di daerah Kabong bagi tempoh sama, berdasarkan PGK Miskin 2022 iaitu RM2,618 sebulan.

“Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan pelbagai program untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan rentan, termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong. Ini merangkumi bantuan tunai seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak, Endowment Fund Sarawak, Bantuan Ibu Bersalin, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Warga Emas serta Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak.

“Selain itu, terdapat juga bantuan keusahawanan seperti Geran Usahawan Wellbest, bantuan peralatan bagi aktiviti peningkatan pendapatan melalui Program Pemerkasaan Keluarga Berpendapatan Rendah, latihan kemahiran bagi meningkatkan kebolehpasaran individu, serta bantuan perubatan, pertanian, perumahan dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab solaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.

Mengulas mengenai sistem eKasih, beliau berkata ia merupakan Pangkalan Data Kemiskinan Nasional yang dibangunkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri untuk merancang, melaksana dan memantau program pembasmian kemiskinan.

“Sistem eKasih adalah bank data yang mengandungi maklumat berkaitan kemiskinan bermula daripada profil individu, program atau bantuan yang diterima oleh KIR dan Ahli Isi Rumah (AIR) daripada agensi pemberi bantuan, hinggalah kepada permohonan serta pemantauan keberkesanan program atau bantuan tersebut.

“Komponen data eKasih terdiri daripada maklumat asas, lokasi, kediaman, pendidikan, kemahiran dan pekerjaan, pemilikan harta, kesihatan, pendapatan serta bantuan,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU