Tiada lagi barisan kereta dua kilometer

TRISO: Kisah ayam goreng dan minuman di dalam tin antara memori berharga di sebalik perkhidmatan feri Batang Lupar yang mungkin tidak diketahui umum.

Pernah atau tidak kita mengambil tahu siapakah individu yang mula-mula mencipta kemeriahan di pangkalan feri Triso sejak ia dibuka hampir sedekad yang lalu?

Perkhidmatan feri Triso-Sebuyau pastinya sunyi tanpa insan bergelar Lihi @ Lehi Chali. Dia merupakan penduduk tempatan pertama yang mengambil peluang berniaga di pangkalan feri Triso. Ketika itu dia dan isteri hanya berjual ayam goreng, minuman di dalam tin dan gula-gula.

“Banyak yang berubah dalam tempoh panjang ini. “Ayam goreng misalnya, dulu hanya beberapa kilogram terjual. Tetapi kini, berkotak-kotak dan jumlahlah berganda-ganda.

“Begitu juga air minuman di dalam tin, dulu hanya dijual di dalam kotak sejuk berisi ais berwarna jingga, namun kini mengunakan peti sejuk.

“Semua itu orang tidak tahu, tetapi itulah memori berharga saya sejak perkhidmatan feri Triso-Sebuyau dibuka. Maknanya, perubahan itu cukup besar.

“Dulu hanya kedai saya yang ada di hadapan muara Batang Lupar yang terbentang luas, tetapi kini terdapat lebih 10 gerai. Penduduk masing-masing merebut peluang untuk berniaga apabila laluan ini semakin menjadi pilihan pengguna jalan raya… semakin meriah,” katanya kepada Suara Sarawak di pangkalan feri Triso baru-baru ini.

Menariknya, sosok tua yang lebih dikenali sebagai Haji Siddieq itu menyifatkan Batang Lupar sebagai sebahagian daripada jiwanya. “Selain berniaga, saya juga bertugas sebagai pengawal di pangkalan feri untuk memastikan kelancaran keluar masuk kenderaan.

“Selepas subuh sudah terpacak di jeti feri, balik rumah 12 tengah malam… inilah dunia saya bermula dengan ayam goreng sehingga mendengar khabar berita Jambatan Batang Lupar akan dibina. “Syukur Alhamdulillah, Kerajaan Sarawak dapat memberikan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat dengan membina jambatan terpanjang di Malaysia ini,” ujarnya.

Tambahnya, kemudahan jambatan itu akan mengatasi isu kesesakan di pangkalan feri khususnya pada musim perayaan dan cuti sekolah. “Kadang-kadang sedih melihat kenderaan berbaris lebih satu hingga dua kilometer. “Jadi, dengan adanya jambatan kelak perjalanan pengguna jalan raya akan lebih lancar,” katanya.

Ditanya tentang harapannya jika jambatan itu siap kelak, dia mahu kerajaan membina kemudahan yang lebih sesuai untuk peniagapeniaga di pangkalan feri di sebelah Triso dan Sebuyau.

“Orang ramai telah sebati dengan pangkalan feri. Justeru apabila tiada lagi perkhidmatan feri kelak, saya harap tempat kami mencari rezeki ini dapat disediakan dengan lebih baik, lebih dekat dengan laluan Jalan Pesisir.

“Hal ini kerana saya fikir, kawasan ini amat strategik yang menjadi tarikan pelancong. Melihat kedudukannya yang betul-betul di hadapan Laut China Selatan, mungkin boleh dibina medan selera makanan laut… potensi tempat ini cukup besar,” jelasnya.

Beliau ketika ditemui semalam sempat menunjukkan ayam goreng yang menjadi kenangan ketika mula-mula bertapak di pangkalan feri Triso.

Suara Sarawak