Tiada masalah isytihar harta

KUCHING: Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mempunyai masalah dalam isu mengisytiharkan harta.

Ketua Whip Parlimen GPS Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya masih menunggu format yang akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tujuan pengisytiharan harta sebagai rujukan.

“Di Sarawak, kerjasama antara SPRM dengan GPS sudah ada sejak dahulu lagi dan kami tiada masalah untuk mengisytiharkan harta.

“Terkini, kami hanya mengunggu format yang akan dikeluarkan oleh SPRM berkaitan dengan pengisytiharan harta dan segala butiran yang diperlukan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam acara agihan bubur cha cha di Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma semalam.

Beliau berkata, Ahli Parlimen GPS sudah menyerahkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tentang pengisytiharan harta dan beliau akan menyerahkan kepada pihak SPRM setelah format itu dikeluarkan.

“Kami hanya menunggu format tersebut untuk mengetahui segala butiran berkaitan harta yang perlu diisytiharkan dan sebagainya,” ujar Ahli Parlimen Petra Jaya itu.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Pusat Governans Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) telah menyarankan semua menteri, timbalan dan anggota pentadbiran kementerian termasuk ahli parlimen pembangkang mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Ekoran daripada itu, Kerajaan Sarawak menyambut baik saranan GIACC seperti yang dinyatakan kerana ia selaras dengan inisiatif Kerajaan Sarawak sebagai pihak pertama yang menandatangani ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan SPRM pada Januari 2017.