Tiada peniaga gulung tikar

KUCHING: Program Penyeragaman Harga dianggap berjaya dalam membantu masyarakat luar bandar menikmati harga komoditi utama sama seperti di bandar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan berbelanja jutaan ringgit bagi program tersebut yang dilaksanakan sejak 2009.

Katanya, melalui program itu golongan B40 dapat membeli barangan keperluan asas kerana tidak terbeban dengan kos pengangkutan.

“Program ini berjaya kerana setiap tahun kerajaan berbelanja berjuta-juta ringgit di seluruh negara, lebih kepada pedalaman Sabah dan Sarawak kerana keadaan perhubungan, tidak banyak jalan raya pada ketika itu.

“Kini, lebih banyak jalan raya dibina, harga barangan keperluan penting di pedalaman mungkin lebih murah dan kita boleh merapatkan jurang.

“Tetapi apabila ada jurang yang besar harga antara pedalaman dan bandar, saya percaya program ini akan diteruskan,” jelasnya pada sidang media selepas pelancaran Program Citarasa Malaysia @ Bumi Kenyalang 2020 di pusat beli-belah Vivacity, di Kuching semalam.

Turut sama hadir pada pelancaran itu, Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais.

Katanya lagi, program berkenaan merupakan usaha kerajaan untuk rakyat di pedalaman yang kerap dibebani kos pengangkutan.

Dalam pada itu, mengenai Program Citarasa Malaysia Alexander berkata, program itu dilaksanakan bagi merancakkan ekonomi Malaysia dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Tambahnya, kempen itu bermula dari Julai sehingga Disember depan dapat mewujudkan keyakinan pengguna dalam membeli barangan Malaysia.

Beliau turut memberitahu, kempen seperti ini akan diperbanyakkan lagi dalam membantu pengusaha-pengusaha tempatan dalam memperkukuhkan semula perniagaan mereka.

“Kita harap tiada perniagaan menerima kesan negatif Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 ini, gulung tikar atau ditutup.

“Kalau kita berjaya dalam kempen ini, sudah semestinya kita membantu peniaga-peniaga berterusan dalam peniagaan mereka, memastikan tiada orang kehilangan kerja kerana perniagaan dapat diteruskan, itu matlamat utama kempen ini diadakan,” ujar Alexander.

Suara Sarawak