ARTIKEL

FOTO UKAS

Tiada percanggahan penambahan kerusi Parlimen Sarawak, kata Abang Johari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: “Tidak bercanggah; keputusan itu sudah dipersetujui pada prinsipnya, cuma prosesnya masih berjalan,” tegas Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini bahawa tiada cadangan untuk menambah jumlah kawasan Parlimen di Sarawak ketika ini.

Walau bagaimanapun, keputusan Kerajaan Persekutuan sebelum ini yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa kerajaan telah bersetuju pada prinsipnya untuk meningkatkan kadar perwakilan Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.

Menurut Abang Johari, kedua-dua kenyataan berkenaan tidak bercanggah kerana keputusan dasar tersebut masih perlu melalui proses perundangan dan persempadanan yang ditetapkan.

“Kerajaan sudah membuat keputusan; sekiranya mahu menambah jumlah kerusi, berapa yang hendak ditambah, itu merupakan perkara yang perlu dipersetujui dan dibincangkan kerana akhirnya ia perlu dibawa ke Parlimen,” katanya.

“Prosesnya adalah seperti ini; selepas ini, cadangan akan dipamerkan dan persempadanan semula akan dibuat, termasuk menentukan sempadan dan lokasi kawasan berkenaan,” jelasnya.

“Kemudian, sekiranya terdapat bantahan, ia akan dipamerkan semula mengikut proses yang ditetapkan,” tambahnya.

“Jadi, ia tidak bercanggah; keputusan itu sudah dipersetujui pada prinsipnya, cuma prosesnya masih berjalan,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Peringkat Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong, di sini, hari ini.

Berhubung dakwaan Pengerusi SPR bahawa pihaknya masih belum menerima perkara berkenaan, Abang Johari berkata keadaan itu berlaku kerana proses tersebut belum sampai ke peringkat untuk dilaksanakan oleh SPR.

“Oleh sebab itu, proses berkenaan belum dapat dimulakan,” ujarnya.

“Sebagai contoh di peringkat negeri, selepas sesuatu perkara diluluskan, barulah proses seterusnya boleh dimulakan,” katanya.

“Dalam perkara ini, ia masih belum diluluskan oleh Parlimen, jadi tunggulah prosesnya,” jelasnya.

“Tidak perlulah diganggu atau dipersoalkan; pada pandangan saya, prosesnya berjalan dengan betul,” ujarnya.

Abang Johari pada masa sama bimbang isu berkenaan disalah tafsir berikutan laporan media yang menggambarkan seolah-olah wujud percanggahan antara keputusan Kerajaan Persekutuan dan kenyataan SPR.

“Adakah ia bercanggah? Bagi saya, tidak ada percanggahan, tidak ada,” tegasnya.

Sebelum ini, SPR menjelaskan syor persempadanan semula Sarawak yang sedang dipamerkan ketika ini tidak melibatkan perubahan jumlah kawasan Parlimen, sebaliknya mencadangkan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU