KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak akan mengadakan majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini susulan pemergian isteri tercinta, Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Beliau menjelaskan bahawa ketiadaan Allahyarhamah yang selama ini sentiasa berada di sisi ketika menyambut perayaan tersebut memberikan suasana berbeza, sekali gus mendorong beliau untuk meraikannya secara sederhana bersama ahli keluarga.
“Sambutan pada tahun ini berbeza kerana Almarhumah sudah tiada. Jadi, saya meminta maaf kepada semua kerana tahun ini saya tidak mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Saya dan anak-anak, Abang Abdillah Izzarim dan Dayang Norjihan, kami beraya sekeluarga sahaja. Sedih hati apabila mengenangkan Almarhumah sudah tiada.
“Walaupun demikian, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Moga-moga negeri kita sentiasa aman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2026 di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Allahyarhamah merupakan puteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak kedua, Tun Tuanku Bujang Tuanku Othman dan telah menghembuskan nafas terakhir pada 23 Jun 2025 di Pusat Perubatan Normah pada usia 76 tahun.
Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 1977 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Abang Abdillah Izzarim serta Dayang Norjihan.
Dalam pada itu, Abang Johari turut berkongsi kenangan mengenai hidangan kegemaran Allahyarhamah iaitu mi kolok yang kini disenaraikan dalam menu bantuan Sumbangsih Raya tahun ini.
Jelasnya, penyertaan menu tersebut merupakan manifestasi kepada pertanyaan Allahyarhamah sebelum ini yang mencadangkan agar hidangan berkenaan disediakan dalam program bantuan tersebut.
“Alhamdulillah dimasukkan juga mi kolok segera. Ini merupakan permintaan isteri saya yang bertanya kenapa menu tersebut tidak dimasukkan ke dalam senarai makanan sumbangsih,” tambahnya.
Program Sumbangsih Raya merupakan inisiatif tahunan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) sebagai tanda penghargaan Kerajaan Sarawak terhadap anggota pasukan keselamatan dan penguatkuasaan yang bertugas pada musim perayaan.
Sebanyak 11,900 bungkusan makanan yang mengandungi enam jenis produk sedia dimakan diagihkan kepada 11 agensi penerima bermula 23 hingga 27 Februari ini.
Turut hadir Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Sri Fatimah Abdullah.

