Tiba tiba hempuk!

BINTANGOR: Seorang lelaki tiba-tiba naik angin sebelum menumbuk seorang wanita di dalam sebuah premis mencuci pakaian layan diri di sini, semalam.

Kejadian sempat dirakam Kamera Litar Tutup (CCTV) sebelum menjadi perhatian netizen apabila tular di laman sosial termasuk Facebook.

Dalam rakaman berdurasi 0.31 saat tersebut, lelaki yang hanya berseluar pendek itu kelihatan memasuki premis terbabit dalam marah sebelum menumbuk seorang wanita yang sedang menunggu pakaian dicucinya.

Lelaki terbabit kelihatan seolah-olah memarahi pelanggan di dalam premis berkenaan sebelum meninggalkan lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitenden Polis (DSP) Sekam Anoi ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, mangsa yang juga seorang pelajar berusia 19 tahun cedera di pipi kiri akibat kesan tumbukan dalam kejadian kira-kira jam 3.00 petang itu.

“Polis difahamkan suspek mempunyai sijil pesakit mental dan kita sedang giat memburunya. Kes ini disiasat di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Video Kredit: Page Bintangor Bandar Limau