Tidak sempat berbuka bersama keluarga

DARO : Seorang lelaki Kelainan Upaya (OKU) tidak sempat berbuka berpuasa hari pertama Ramadan bersama keluarga selepas maut dirempuh kereta jenis Vios di Kampung Tengah Daro, hari ini.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Mohd Said Brahim, 36, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan di beberapa anggota badannya.

Adik ipar mangsa Suhaimi Sepawi 35, berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menyeberangi jalan itu untuk mengambil sayur.

“Saya terkejut dimaklumkan mengenai kejadian itu dan bergegas pulang melihat keadaannya.

“Kami menyerahkannya kepada polis untuk tindakan susulan,” katanya kepada wartawan.

Menurut Suhaimi, abang iparnya yang mengalami sindrom down sejak kecil sering ke seberang jalan itu untuk memetik sayur-sayuran.

Walau pun OKU katanya, arwah juga anak sulung daripada dua beradik seorang yang rajin membantu keluarga.

“Saya tidak sangka Ramadan pertama ini adalah detik yang terakhir kami bersamanya. Kami sedih kehilangan Allahyarham namun pasrah menerimanya sebagai ketentuan Ilahi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Daro, Deputi Superitendan Polis (DSP) Neil Beginda ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

“Kita sedang melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

 

Anggota keluarga menunggu urusan jenazah mangsa di Bilik Mayat Hospital Daro.

Suara Sarawak