BAU: Cubaan seorang lelaki membawa masuk sebuah pacuan empat roda yang dicuri ke Indonesia melalui Serikin gagal, apabila dia terserempat dengan pasukan Ronda Cegah Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.
Bagaimanapun, lelaki itu sempat melarikan diri ke dalam hutan.
Menurut Ketua Polis Daerah Bau, Poge Nyaon, pasukan Ronda Cegah Jenayah IPD Bau, kenderaan jenis Mitsubishi Pajero itu ditinggalkan lelaki terbabit di simpang Kampung Padang Pan, menuju ke Serikin sekitar jam 5 pagi tadi.
“Pemandu itu melarikan diri dan meninggalkan kenderaan di tepi jalan,” katanya yang dihubungi, hari ini.
Poge berkata kenderaan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Bau dan semakan mendapati ia dilaporkan hilang awal pagi tadi di River Ria Kota Samarahan.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
