Tidak utamakan kepentingan S’wak

KUCHING: Setiausaha Agung Pemuda SUPP Milton Foo menganggap tindakan PH untuk terus melaksanakan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebagai tidak menghormati rakyat Sarawak.

Menurutnya, PH hanya ingin meneruskan agenda untuk memecahbelahkan penduduk Sarawak tetapi gagal membayar royalti 20 peratus minyak dan gas kepada Sarawak seperti dalam janji manifesto pilihan raya lalu.

“Ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan PH tidak mengutamakan kepentingan rakyat Sarawak seperti janji pilihan raya lalu.

“Malah kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen untuk meneruskan pelaksanaan MPKK menunjukkan mereka tidak menghormati serta memperakui Sarawak sebagai rakan kongsi membentuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tegas Milton, sikap pilih kasih Kerajaan Persekutuan tidak boleh dipertikaikan lagi berdasarkan tindakan mereka terhadap Sarawak selama memerintah.

“Ini peringatan tepat kepada semua rakyat Sarawak untuk mengetahui pihak yang mengotakan janji dan sebaliknya.

“Kerajaan Persekutuan hanya mementingkan Semenanjung Malaysia dan bertindak menguasai Sarawak tanpa memenuhi permintaan rakyat negeri ini,” tegasnya.

Malah, katanya, Perdana Menteri Tun Dr. Mahatir Mohamad dalam kenyataannya di New York memberitahu, kenaikan royalti minyak dan gas Sarawak daripada lima ke 20 peratus tidak dapat dilaksanakan, sekali gus menidakkan hak negeri ini.

“Ini membuktikan PH tidak melakukan apa-apa yang baik untuk Sarawak tetapi ingin memusnahkan kemakmuran.

“Amat jelas dan rakyat harus membuat pilihan berhemah,” ujarnya

Suara Sarawak