Tiga antologi karya penulis muda

KUCHING: Minggu Karyawan Sarawak (MKM) 2021 bakal melahirkan tiga antologi yang menghimpunkan karya penulis muda. Timbalan Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) Jaafar Hamdan berkata, program julung kali diadakan itu akan menerbitkan karya peserta melalui antologi cerpen, puisi dan antologi Tongkat Putih.

“Kita pastikan objektif kita untuk melahirkan tiga antologi tercapai,” katanya di Majlis Penutupan Minggu Karyawan Sarawak di sini. Jaafar menegaskan objektif itu ditekankan DBP yang menjadi petunjuk prestasi pelaksanaan MKM.

“Sekiranya buku itu diterbitkan nanti, kita akan bersamasama meraikannya dan dalam kalangan anda diminta untuk memperkenalkannya agar ia menjadi ilmu yang menarik,” ujarnya.

Dalam melunaskan hasrat DBP untuk membentuk penulis muda yang berkualiti, Jaafar berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga memenuhi keperluan golongan penulis muda.

“Saya bukan berjanji tetapi saya akan mengusahakannya menjadi satu realiti,” tegasnya. Jaafar menasihati penulis muda untuk berhati-hati dalam setiap penulisan memandangkan karya yang dihasilkan lambang keperibadian penulis. “Saya berharap pertemuan ini akan menjadi pertemuan membuka ruang untuk kita pergi lebih jauh dalam bidang penulisan,” ujarnya.

DBP katanya menyediakan platform dan medium untuk penulis muda memantapkan penulisan namun menjadi tanggungjawab penulis supaya komited mengekalkan momentum agar terus berusaha memikul tanggungjawab sebagai dalam memaknakan program Minggu Karyawan Muda iaitu Merekayasa Paradigma Kepengarangan Penulis.

Jaafar turut menzahirkan penghargaan kepada peserta atas komitmen padu yang diberikan sepanjang MKM berlangsung. Minggu Karyawan Muda (MKM) dijenamakan semula daripada Minggu Penulis Remaja (MPR) untuk melahirkan penulis muda Sarawak yang mampu keluar dari zon selesa. Program dua hari itu dihadiri 25 penulis muda termasuk Kumpulan Tunatera dari Persatuan Orang Buta Sarawak.