SERIAN: Seorang lelaki dilaporkan cedera selepas motosikal yang dinaikinya bersama-sama isteri dan anaknya dilanggar sebuah kereta di Chong Hua Batu 39, Serian, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, dalam kejadian itu, suami yang membonceng motosikal mengalami kecederaan yang agak serius, manakala isteri dan anaknya hanya mengalami cedera ringan.
“Operasi di lokasi diketuai oleh PBK I Christopher dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian, dengan kekuatan tujuh anggota menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).
“Pasukan bomba bertindak menstabilkan mangsa di lokasi dan memberikan rawatan awal sebelum membawa ketiga-tiga mangsa ke Hospital Serian untuk rawatan susulan,” katanya dalam kenyataan.


Jurucakap itu menambah, tindakan pantas pasukan di lapangan membantu mengurangkan risiko kecederaan yang lebih serius kepada mangsa.
Katanya, pihak bomba menasihati orang ramai supaya memandu dengan berhati-hati, mematuhi peraturan jalan raya, dan sentiasa berjaga-jaga di kawasan yang berisiko kemalangan.


