KOTA SAMARAHAN: Tiga buruh dicekup selepas mendapatkan bekalan dadah daripada seorang tokan di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin berkata, ketiga-tiga suspek berusia 39, 31 dan 29 tahun itu dicekup oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kota Samarahan ketika mereka sedang duduk di gerai jualan Kampung Melayu, di sini kira-kira jam 8.30 malam tadi.
“Pemeriksaan yang dibuat ke atas kesemua suspek telah menjumpai satu peket mengandungi syabu seberat 0.30 gram yang dianggarkan bernilai RM33 di dalam beg sandang salah seorang suspek,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah itu secara serahan tangan daripada seorang lelaki yang dikenali Apun di kawasan Kampung Melayu secara bersemuka.
Damataries berkata, ujian saringan awal terhadap ketiga-tiga suspek turut didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Katanya, kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Damataries berkata, pihaknya juga sedang mengesan pengedar dadah terbabit yang belum dikenal pasti.

