KUCHING: Penganugerahan Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star oleh Maharaja Naruhito disifatkan sebagai pengiktirafan bersejarah terhadap perjalanan kerjasama Sarawak-Jepun yang terjalin sejak lebih 30 tahun, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, penganugerahan itu merupakan penghargaan terhadap sumbangan yang direkodkan sendiri oleh Kerajaan Jepun.
“Ini termasuk kejayaan membawa masuk syarikat Toko Electronics (Sarawak) Sdn. Bhd. dan Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn. Bhd. ke Samajaya ketika saya menerajui portfolio Menteri Pembangunan Perindustrian.
“Rekod Jepun turut menyorot peranan awal dalam memulakan hubungan dagang dan diplomatik melalui Persatuan Ekonomi Malaysia–Jepun (MAJECA) dan Persatuan Ekonomi Jepun–Malaysia (JAMECA), selain menyokong usaha penghutanan semula antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Jepun.
“Ketika itu, saya sedar lebih 30 tahun telah berlalu. Jika saya bukan Premier Sarawak hari ini, mungkin saya tidak akan menerima anugerah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi dialog dalam Leadership Soiree Dinner (Sarawak Woman of Tomorrow 2025), di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata sumbangan terakhirnya—dan mungkin akan ada lagi pada masa akan datang—ialah memacu kerjasama hidrogen dengan Mitsubishi dan Sumitomo.
Ujarnya, usaha itu adalah sebahagian daripada inisiatif baharu antara Jepun dan Malaysia.
Sehubungan itu, Abang Johari menjelaskan bahawa beliau pada awalnya tertanya-tanya sebab penganugerahan berprestij itu memandangkan ia lazimnya diberikan kepada pemimpin peringkat nasional.
Namun, tambahnya, Jepun menegaskan bahawa rekod panjang sumbangannya selama lebih 30 tahun menjadi asas utama penganugerahan tersebut.

