TIDAK ramai yang tahu dan sedar bahawa beliau merupakan Datuk Bandar Kuching Selatan yang pertama.
Datuk Song Swee Guan diantik ke jawatan itu, kerana pada masa yang sama, pada 1988, beliau merupakan Pengerusi Majlis Perbandaran Kuching (KMC), sebelum menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Padungan dan Ahli Parlimen Bandar Kuching dan akhirnya dilantik sebagai Speaker DUN Sarawak.
Justeru lelaki yang berbadan gempal yang tidak berkahwin hingga akhir hayatnya ini cukup berjasa kepada bandar raya ini.
Realitinya, Swee Guan merupakan generasi ketiga daripada keluarga “Song” yang terkenal dengan sifat baik hati dan terpuji.
Sejarah keluarganya bermula dengan perjalanan kembara seorang anak muda daripada keluarga miskin di China.
Datuknya, Song Kheng Hai, meninggalkan Daerah Nan’an di Fujian ketika berusia sekitar 15 tahun untuk mencari kehidupan baharu di Singapura.
Dilahirkan pada 1876, Kheng Hai kemudian memulakan pekerjaan di sebuah kedai jualan hasil tempatan.
Kerajinannya kemudian menarik perhatian majikan yang kemudian mengambilnya sebagai anak angkat.
Pada usia 25 tahun, berbekalkan modal daripada bapa angkatnya, beliau membawa keluarganya ke Kuching untuk memulakan perniagaan sendiri.
Bertempat di No. 46, Main Bazaar, beliau membuka kedai Soon Bee Ann yang berdagang runcit dan barangan keperluan harian.
Daripada kedai itu, perniagaannya berkembang.
Beliau menjalin kerjasama dengan pedagang di Singapura sebelum turut menceburi bidang hartanah. Kejayaan tersebut meletakkan Kheng Hai dalam kalangan saudagar Hokkien terkemuka di Kuching.
Pelibatannya dalam masyarakat turut mendapat perhatian pemerintah Brooke sehingga dilantik sebagai majistret di Mahkamah Cina. Sekitar 1915, Kheng Hai diamanahkan oleh Rajah untuk membangunkan kawasan Padungan.
Pada tahun 1926 hingga 1930, Kheng Hai membina sebuah kediaman besar untuk keluarganya serta lebih 40 rumah kedai dua tingkat, sekali gus meninggalkan jejak pada perkembangan kawasan yang kemudian menjadi antara lokasi penting di Kuching.
Namun, kemelesetan ekonomi dunia pada dekad 1930-an menggugat perniagaannya.
Tidak lama selepas deretan rumah kedai itu disiapkan, beliau berdepan kesukaran kewangan sehingga diisytiharkan muflis sekitar 1934.
Walaupun perjalanan perniagaannya berakhir dengan kepayahan, hubungan keluarga Kheng Hai dengan pembangunan Kuching tidak terhenti.
Anak beliau, Song Thian Cheok, meneruskan pelibatan dalam urusan kemasyarakatan dan pentadbiran tempatan, sebelum tanggungjawab itu disambung oleh cucunya, Song Swee Guan.
Thian Cheok menjadi Presiden ketiga KMC dan berkhidmat dari 28 Disember 1965 hingga 30 Jun 1978.
Beliau juga pernah menjadi wakil rakyat.
Menurut Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, dalam pentadbiran mereka, kedua-dua bapa dan anak ini percaya bahawa sukan mampu menyatukan masyarakat, membina disiplin dan menyediakan peluang kepada golongan muda.
Justeru mereka menyokong dan menggalakkan pelbagai acara dan pertandingan sukan di padang.
Dalam lingkungan inilah, anak Thian Cheok, Song Swee Guan membina perjalanan hidupnya.
Selepas menamatkan pengajian di Australia, beliau memulakan kerjaya sebagai eksekutif di The Borneo company Beberapa tahun kemudian, beliau meninggalkan pekerjaan itu untuk mengambil alih perniagaan bapanya dan menceburi politik. Langkahnya dalam pentadbiran tempatan bermula apabila dilantik sebagai ahli majlis KMC pada 1981.
Setahun kemudian, beliau menjadi pengerusi dan memimpin majlis itu sehingga 1988.
Apabila Kuching diisytiharkan sebagai bandar raya pada 1 Ogos 1988, Swee Guan mencatat sejarah sebagai Datuk Bandar pertama Kuching Selatan.
Beliau menerajui Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) selama lapan tahun, sehingga 1996.
Ini merupakan tempoh penting dan genting untuk pembentukan hala tuju pentadbiran bandar raya tersebut.
Antara warisan beliau yang paling diingati ialah patung kucing putih di bulatan Padungan.
Patung ini merupakan ideanya bagi memperingati pengisytiharan Kuching sebagai bandar raya.
Ia kemudian menjadi tarikan pelancongan dan sebahagian daripada identiti visual bandar.
Patung berkenaan lazimnya dipakaikan busana mengikut sambutan perayaan, termasuk Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak, Hari Raya Aidilfitri dan Krismas.
Melalui amalan itu, sebuah mercu tanda turut menjadi gambaran kepelbagaian masyarakat Kuching.
Dalam satu acara menjelang Tahun Baharu Cina, Swee Guan diberi penghormatan untuk bersama-sama Wee dan Dr. Sim Kui Hian memakaikan busana tradisional Cina pada patung tersebut.
Bagi Wee, penghormatan itu mengingatkan masyarakat bahawa tarikan yang dinikmati hari ini bermula daripada pandangan dan usaha pemimpin terdahulu.
Di sebalik kisah patung itu, tersimpan pula kenangan kecil keluarga.
Anak saudara Swee Guan, Kaylene Tan, menceritakan bahawa neneknya, iaitu ibu Swee Guan, pernah memelihara seekor kucing putih ketika patung tersebut diperkenalkan.
Bagaimanapun, beliau sendiri tidak pasti sama ada haiwan peliharaan itu menjadi ilham kepada pembinaannya.
Swee Guan juga dikenang sebagai antara perintis usaha menghijaukan bandar raya.
Perhatiannya terhadap pendidikan, pembasmian kemiskinan bandar, peluang pekerjaan, latihan vokasional dan pembangunan infrastruktur menjadi sebahagian daripada asas pembangunan Kuching Selatan.
Hubungannya dengan peniaga kecil juga begitu rapat sehingga beliau dikenali sebagai “bapa penjaja”.
Gelaran itu mencerminkan kedudukannya dalam kalangan masyarakat yang mencari rezeki di pasar dan gerai sekitar bandar, termasuk di Stutong dan Tabuan Jaya.
Kaylene mengingati bagaimana bapa saudaranya kadangkala memilih untuk kekal di dalam kereta apabila singgah di kedai atau pasar basah.
Jika keluar, beliau akan dikerumuni penjaja yang mengenalinya.
Pada pandangan anak saudaranya itu, Swee Guan merupakan seorang wira yang dekat dengan orang ramai.
Khidmatnya turut merangkumi pentas politik negeri dan persekutuan.
Beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Padungan selama empat penggal, dari 1983 hingga 2001, serta Ahli Parlimen Bandar Kuching dari 1995 hingga 2003.
Beliau malah sempat melepaskan jawatannya sebagai ADUN untuk memberi peluang kepada salah seorang anak didiknya, Datuk Lily Yong untuk bertanding.
Pada November 1996, beliau dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak dan memegang jawatan itu sehingga 2000.
Pun begitu, sejarah kemenangan di Parlimen Bandar Kuching pada 1995 paling diingati kerana Swee Guan berjaya menafikan wakil DAP, Sim Kwang Yang, yang sebelum ini mempertahankan kerusi itu selama tiga penggal.
Dikenali sebagai “giant killer”, Swee Guan kemudian mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya umum 1999.
Bagaimanapun, perjalanan politiknya melalui masa sukar selepas itu.
Pada Disember 2002, beliau tidak lagi disenaraikan sebagai Naib Presiden, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Pada 8 Mei 2003, beliau diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuching kerana hutang RM300,000 kepada seorang ahli perniagaan, sekali gus mengulangi sejarah hitam yang dilalui datuknya, Song Kheng Hai.
Susulan pengumuman status tersebut di Parlimen, beliau mengumumkan pengundurannya sebagai Ahli Parlimen Bandar Kuching. Swee Guan kemudian menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat bagi memenuhi kehendak undang-undang serta memelihara nama baik Parlimen.
Di luar jawatan dan pergolakan politik, ahli keluarganya tetap mengenang beliau sebagai seorang lelaki yang sederhana, penyayang dan sentiasa mendahulukan keperluan orang lain.
Menurut Kaylene, tanggungjawab terhadap pekerjaan dan penjagaan ibu bapa menyebabkan bapa saudaranya itu kekal membujang.
Ketika bapanya terlantar sakit selama bertahun-tahun, Swee Guanlah yang membantu menjaga beliau, termasuk apabila memerlukan perhatian pada waktu malam.
Selepas bapanya meninggal dunia, perhatian yang sama diberikan kepada ibunya, dan ini termasuk memastikan makan minumnya terjaga hingga menemaninya dan menguruskan perjalanan ke tempat yang perlu dikunjungi.
Kaylene mengingati sifat luar biasa bapa saudaranya itu membahagikan masa antara masyarakat dengan keluarga.
Apabila pulang ke rumah, beliau menumpukan perhatian kepada ibu bapa, memasak dan bergurau dengan mereka.
Antara hidangan yang menjadi kenangan keluarga ialah kari ayam dan kacang ma masakannya.
Adiknya, Song Chai Kim turut mengenang zaman kanak-kanak yang bahagia bersama-sama abangnya.
Walaupun Swee Guan melanjutkan pengajian ke luar negara pada usia muda dan Chai Kim sendiri kemudian menetap di Singapura selepas berkahwin, hubungan kekeluargaan mereka terus erat.
Bagi anak angkatnya, Sim Min Min, Swee Guan ialah seorang bapa yang bersopan santun dan gemar membantu.
Masa yang diluangkan bersama sambil minum kopi menjadi antara kenangan peribadi yang berharga.
Swee Guan juga dikenang sebagai penggemar aktiviti mendaki selama kira-kira 20 tahun sebelum berdepan masalah pergerakan.
Dalam usia persaraan ini, beliau tidak dilupai sepenuhnya.
Penghargaan terhadap jasa Swee Guan dizahirkan pada 12 April 2021 apabila Taman Kejiranan Tabuan Jaya dinamakan semula sebagai Taman Datuk Bandar Song Swee Guan, bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke80.
Majlis itu berlangsung secara sederhana ketika pandemik COVID-19.
Bagi Dr. Sim, penamaan taman tersebut mencerminkan nilai masyarakat yang menghargai sumbangan pemimpin terdahulu.
Wee pula melihat Swee Guan sebagai seorang pembimbing kepada pengurusan Kuching Selatan, selain tokoh yang membantu merintis konsep bandar hijau.
Pada usia 84 tahun, pada jam 3.30 petang Ahad lalu, Swee Guan menutup mata selamalamanya di Hospital Umum Sarawak.
Pemergian beliau meninggalkan kesan kepada mereka yang mengenalinya — sebagai insan baik hati, rendah diri dan ikhlas, yang melayani orang lain dengan mesra serta penuh hormat.
Dari kedai Soon Bee Ann di Main Bazaar hingga deretan rumah kedai Padungan, daripada kepimpinan KMC hingga pembentukan MBKS, kisah tiga generasi keluarga Song ini teranyam erat dalan perkembangan Kuching.
Datuk dan bapanya membentuk ekonomi dan pembangunan, Swee Guan pula menyediakan teduhan taman bandar sambil kenangan keluarga tertancap pada seorang anak yang menjaga ibu bapanya dengan penuh kasih hingga mereka menutup mata.
Bagi yang mengenalinya, pasti akan teringat akan senyum ikhlas, kaca mata tebal dan sapaan mesranya, yang tidak mengenal sesiapa.
Selamat jalan Song Swee Guan.
Semoga warga Kuching terus menghargai sumbangan keluargamu.


