TIGA hari berkampung di Kompleks Sukan Betong sejak semalam hingga esok, bukan sekadar sebuah program kerajaan yang menghimpunkan jabatan dan agensi, sebaliknya menjadi ruang pertemuan besar antara kerajaan dengan rakyat di Bahagian Betong.
Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Betong, yang merupakan lokasi ketujuh disasar menerima kehadiran sehingga 115,000 pengunjung.
Sekali gus, memperlihatkan skala penganjuran yang jauh melangkaui sebuah karnival biasa.
Dengan pelibatan 48 agensi yang menawarkan 158 jenis perkhidmatan, SKS 2026 Bahagian Betong membawa konsep perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada masyarakat, terutama mereka yang mungkin berdepan kekangan masa, jarak dan kos untuk berurusan dengan pelbagai jabatan secara berasingan.
Lebih penting, program ini memberi peluang kepada masyarakat untuk bertanya secara terus, mendapatkan penjelasan dan memahami dengan lebih dekat bentuk bantuan, kemudahan serta inisiatif yang disediakan kerajaan.
Dalam SKS, aspek kemeriahan sememangnya menjadi daya tarikan.
Namun, nilai sebenar program terletak pada keupayaannya membawa perkhidmatan dan maklumat terus kepada rakyat.
Seperti ditekankan Ahli Parlimen Betong Datuk Dr. Richard Rapu, masyarakat tidak seharusnya melihat SKS hanya sebagai acara hiburan, sebaliknya sebagai platform untuk mendapatkan maklumat, perkhidmatan dan berinteraksi secara langsung dengan pegawai agensi berkaitan.
Antara bidang yang boleh dimanfaatkan masyarakat termasuk kebajikan, keusahawanan, ekonomi, kesihatan dan pendidikan.
Pendekatan ini penting kerana keperluan rakyat hari ini semakin pelbagai.
Ada yang memerlukan maklumat mengenai bantuan, ada yang mencari peluang perniagaan, ada yang mahu mendapatkan khidmat berkaitan pendidikan atau kesihatan, malah ada yang sekadar memerlukan penjelasan mengenai prosedur sesuatu urusan.
Apabila semua itu dihimpunkan di satu lokasi, masa dan jarak antara rakyat dengan perkhidmatan kerajaan dapat dikurangkan.
Pemilihan Betong sebagai salah satu lokasi SKS 2026 turut memberikan dimensi tersendiri kepada penganjuran ini.
Bahagian Betong merangkumi kawasan yang luas dan mempunyai masyarakat dengan latar belakang ekonomi serta geografi yang berbeza, termasuk penduduk dari Daerah Betong, Saratok, Pusa dan Kabong.
Dalam konteks itu, Kompleks Sukan Betong menjadi lebih daripada sekadar lokasi program.
Lebih tepat, ia menjadi titik pertemuan masyarakat dari pelbagai kawasan.
Jaringan jalan raya yang semakin baik juga dilihat membantu menarik pengunjung dari kawasan sekitаr, termasuk Sri Aman, Sibu dan kawasan pedalaman.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, menjangkakan peningkatan kehadiran berdasarkan kemudahan perhubungan yang semakin baik.
Majlis perasmian oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada hari ini pula dijangka menghimpunkan kira-kira 7,000 orang, menunjukkan besarnya perhatian yang diberikan terhadap penganjuran kali ini.
Satu lagi aspek penting SKS ialah peluang ekonomi yang terbuka kepada usahawan tempatan.
Gerai jualan, pengusaha makanan, produk tempatan dan pelbagai aktiviti keusahawanan memberikan ruang kepada pemain industri kecil dan sederhana memperkenalkan produk mereka kepada khalayak yang lebih luas.
Bagi usahawan, jumlah pengunjung yang besar bukan semata-mata bermakna jualan pada hari program.
Ia juga boleh menjadi ruang membina rangkaian pelanggan, memperkenalkan jenama dan menguji penerimaan pasaran.
Dalam konteks Betong, peluang sebegini amat signifikan kerana terdapat pelbagai produk tempatan yang berpotensi diketengahkan, daripada makanan dan hasil pertanian sehingga produk perusahaan kecil serta kraf tangan.
SKS secara tidak langsung menjadi medan mempertemukan pengusaha dengan pengguna.
Tarikan lain ialah Sarawak Pavilion dan Betong Pavilion yang menjadi antara pengisian utama program.
Jika kaunter perkhidmatan memberi tumpuan kepada keperluan rakyat secara langsung, pavilion pula membuka ruang untuk masyarakat melihat gambar lebih luas mengenai pembangunan negeri dan potensi Bahagian Betong.
Sarawak Pavilion sebelum ini menjadi ruang untuk mempamerkan pencapaian pembangunan, infrastruktur serta aspirasi negeri, manakala pengisian berkaitan bahagian memberi peluang kepada masyarakat melihat potensi kawasan mereka sendiri.
Ini penting kerana pembangunan bukan hanya perlu dilihat melalui angka dan projek, tetapi juga bagaimana masyarakat memahami hala tuju kawasan mereka.
SKS 2026 turut memupuk kaitan rapat dengan usaha mengetengahkan potensi pembangunan Betong.
Antara yang diberi perhatian sebelum ini ialah kawasan Bebuling Spaoh termasuk Taman Agro Bebuling Spaoh, Pusat Pengumpulan, Memprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Bebuling Spaoh serta Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling Spaoh.
Kesemua elemen ini mencerminkan bagaimana Betong bukan hanya sebuah kawasan pentadbiran, tetapi mempunyai potensi dalam sektor pertanian, agromakanan, logistik dan hubungan pengangkutan.
Bagi masyarakat setempat, peluang melihat perkembangan projek sedemikian dari dekat dapat membantu memberikan gambaran tentang arah pertumbuhan ekonomi kawasan pada masa hadapan.
SKS juga tidak lengkap tanpa pelibatan masyarakat.
Program komuniti, aktiviti sukan, pertandingan, persembahan kebudayaan dan hiburan memberi ruang kepada keluarga serta generasi muda untuk turut serta.
Dalam suasana sedemikian, SKS boleh menjadi medan interaksi antara masyarakat daripada latar belakang berbeza.
Di sinilah konsep ‘Sarawakku Sayang’ dapat diterjemahkan bukan sahaja melalui penyampaian perkhidmatan, tetapi melalui hubungan sosial, semangat keikatan dan pelibatan masyarakat.
Bagi anak muda, program seperti ini juga boleh menjadi ruang untuk mengenali peluang pendidikan, kerjaya, keusahawanan dan aktiviti kemasyarakatan yang tersedia.
Daya tarikan SKS 2026 Bahagian Betong turut diperkukuh dengan e-Peraduan yang menawarkan hadiah utama sebuah Perodua Bezza 1.3X bernilai kira-kira RM48,000 selain lebih 100 hadiah lain.
Elemen sebegini sememangnya mampu menarik lebih ramai pengunjung, namun manfaat yang lebih besar ialah peluang yang terbuka apabila berada di tapak program.
Seorang pengunjung yang datang untuk menyertai aktiviti atau mencuba nasib dalam peraduan, misalnya, pada masa sama berpeluang mengunjungi pavilion, mendapatkan maklumat daripada agensi kerajaan atau membeli produk usahawan tempatan.
Di sebalik kemeriahan yang dirancang, aspek keselamatan, kebersihan, trafik dan keselesaan pengunjung juga menjadi perhatian utama penganjur.
Keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan Sarawak menjelang penganjuran SKS Betong menambah satu lagi cabaran.
Orang ramai, khususnya mereka yang kurang sihat, dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menggunakan pelitup muka ketika berada di kawasan terbuka atau lokasi tumpuan ramai.
Kejayaan sesuatu program berskala besar bukan hanya bergantung kepada jumlah pengunjung, tetapi juga sejauh mana keselamatan dan kesejahteraan mereka dapat dijamin.
Akhirnya, kekuatan SKS 2026 di Betong bukan terletak pada jumlah gerai, pentas atau kemeriahan semata-mata.
Nilai sebenarnya ialah sejauh mana rakyat mengambil peluang yang tersedia.
Kerajaan membuka ruang, agensi membawa perkhidmatan, usahawan membawa produk dan masyarakat pula hadir sebagai penerima manfaat.
Sasaran 120,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari adalah angka besar.
Namun di sebalik angka itu terdapat ribuan urusan, pertanyaan, pertemuan, peluang dan hubungan yang boleh terbentuk.



