MIRI: Tiga individu mengalami kerugian lebih RM230,000 selepas terpedaya dengan penipuan membabitkan projek tidak wujud dan tawaran pekerjaan dalam talian di Miri, baru -baru ini.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata pihaknya menerima tiga laporan berkaitan kes tersebut pada 18 Mac lalu melibatkan dua kes penipuan projek dan satu kes penipuan tawaran kerja.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
“Modus operandi suspek adalah menyamar sebagai pegawai kerajaan, meyakinkan mangsa sebelum meminta mereka membuat bayaran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam kes pertama, seorang kontraktor wanita berusia 40-an mengalami kerugian RM66,000 selepas diperdaya individu yang mendakwa sebagai kakitangan Majlis Daerah Sri Aman.
“Suspek telah membuat tempahan dua unit V500 Gnss Receiver Hi-Target dan mengarahkan mangsa berurusan dengan Syarikat M.N. Seven Trading.
“Namun, selepas bayaran dibuat, syarikat tersebut gagal dihubungi, manakala pihak majlis daerah mengesahkan mereka tidak pernah membuat tempahan itu,” katanya.
Kes kedua pula membabitkan seorang ahli perniagaan lelaki berusia 30-an yang mengalami kerugian RM89,100.
“Dalam kes ini mangsa telah menerima tempahan peralatan Survey Instrument daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (KPKT).
“Selain itu, suspek turut meminta mangsa membuat pesanan melalui Syarikat M.N. Seven Trading / Blue Triangle Solution sebelum menghilangkan diri selepas menerima bayaran,” tambahnya lagi.
Hasil semakan dengan KPKT mendapati kementerian itu tidak pernah membuat sebarang tempahan.
Selain penipuan projek, polis turut menerima laporan berkaitan kes tawaran kerja palsu yang mengakibatkan seorang pengarah syarikat wanita berusia 40-an rugi RM78,823.
Mangsa menerima tawaran melalui WhatsApp yang menjanjikan komisen 10 hingga 20 peratus bagi setiap tugasan, termasuk tempahan bilik hotel dan pemindahan wang.
Bagaimanapun, selepas melaksanakan tugasan tersebut, mangsa tidak menerima bayaran seperti dijanjikan.
Dalam pada itu, Alexson turut menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum menyertai sebarang tawaran kerja atau projek dalam talian.
“Pastikan setiap tawaran kerja atau projek diperiksa kesahihannya terlebih dahulu, terutama jika ia melibatkan pembayaran wang. Jangan mudah percaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai kerajaan tanpa pengesahan rasmi,” tegas beliau.
Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan siber boleh menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 sekiranya baru sahaja membuat transaksi pemindahan wang ke akaun bank atau e-wallet suspek.

