KUCHING: Seorang lelaki dan dua wanita kakitangan sebuah bank dihadap ke Mahkamah Sesyen hari ini atas satu pertuduhan menipu seorang lelaki warga emas dalam skim pelaburan tidak wujud hingga menyebabkan kerugian wang bernilai RM16,000.
Tertuduh masing-masing berusia 27 tahun hingga 54 tahun mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan bersama-sama di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa meneruskan niat bersama menipu seorang lelaki berusia 61 tahun dalam skim pelaburan tidak wujud dengan mendorong mangsa menyerahkan wang bernilai RM16,000.
Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di premis bank berkenaan di sini pada 15 November 2024.
Oleh itu, kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun yang sama. Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebatan dan denda.
Semasa sebutan kes, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff menawarkan jaminan tunai RM1 juta kepada kesemua tertuduh dengan dua penjamin tempatan.
Ia bagi mengambil kira kepentingan awam apabila mereka terlibat dalam banyak penipuan pelaburan tidak wujud dan bukan hanya seorang mangsa malah turut berlaku kepada mangsa lain.
Beliau memberitahu, terdapat mangsa lain yang turut mengalami kerugian akibat penipuan mereka yang difahamkan melibatkan jumlah keseluruhan RM11 juta. Ketiga-tiga tertuduh juga bakal berdepan pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA).
Namun demikian, Peguambela Datuk Shankar Ram yang mewakili tertuduh kedua memohon agar tertuduh diberikan jaminan mahkamah beserta syarat pelaporan yang ketat.
Ia bagi memberikan ruang kepada anak guamnya mengumpulkan dana untuk membayar yuran guaman dan menguruskan hal kehidupan harian terutamanya apabila perkhidmatan mereka sebagai kakitangan bank digantung dan ditamatkan.
Oleh itu, Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh dibebaskan dengan jaminan mahkamah RM10,000 beserta seorang penjamin tempatan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 6 Februari 2026, selain memerintahkan mereka menyerahkan passport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan sehingga kes selesai.
Tertuduh pertama diwakili Peguam Ralph Lee manakala tertuduh ketiga diwakili Peguam Voon Lee Shan.
Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen mengatur pertemuan antara empat individu yang didakwa menjadi mangsa penipuan melibatkan kakitangan bank tersebut dengan wakil kanan ibu pejabat dari Kuala Lumpur.
Chieng Jen berkata mangsa mengalami kerugian selepas ditipu pegawai bank yang mempromosikan skim pelaburan palsu dan insiden itu berlaku secara berasingan pada tahun 2024 dan tahun ini.
Beliau berkata kesemua mangsa diarahkan mengeluarkan wang tunai daripada akaun bank mereka sebelum pegawai tersebut berpura-pura melaburkan wang itu serta mengeluarkan resit palsu menyerupai dokumen rasmi bank.




