BINTANGOR: Tiga lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes kecurian kabel transformer di kawasan KJD, di sini, didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Tansli Mering berkata, ketiga-tiga suspek berusia 36, 28 dan 22 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong pada kira-kira 11.50 pagi, 8 Ogos lalu.
Pemeriksaan susulan ke atas suspek mendapati kesemuanya gagal dalam ujian saringan air kencing apabila dikesan positif amphetamine serta methamphetamine.
“Ketiga-tiga mereka kini ditahan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes kecurian kabel transformer berkenaan serta kesalahan dadah yang dikesan.
“Kejadian itu dipercayai menyebabkan kerugian kira-kira RM15,000,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tansli berkata, siasatan turut diperluas bagi mengenal pasti kaitan suspek dengan satu laporan kes ugutan jenayah yang dilaporkan berlaku di Sungai Kawi.
“Hasil semakan mendapati suspek berusia 36 tahun tidak mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah atau dadah, manakala dua lagi suspek masing-masing mempunyai satu rekod terdahulu membabitkan kesalahan dadah,” katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Tansli menegaskan polis memandang serius penyalahgunaan dadah kerana kegiatan berkenaan berpotensi menjadi antara faktor yang mendorong berlakunya pelbagai jenayah lain, selain menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.



