SRI AMAN: Tiga maut dalam dua kemalangan berasingan di kawasan Sri Aman, semalam.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga (Sri Aman) Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, insiden pertama berlaku kira-kira 9.14 pagi di Jejambat Sri Aman melibatkan sebuah lori.

Menurutnya, Darwin Dingin, 42 dan Belon Sunkong, 46 yang menaiki lori jenis Nissan maut selepas terlibat dalam kemalangan kendiri.
“Kedua-dua mangsa tersepit dan setelah berjaya dikeluarkan, pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya.
Sementara kemalangan kedua jelasnya berlaku awal pagi di Simpang Klassen, Jalan Sri Aman-Betong.
“Kemalangan melibatkan kereta jenis Honda Jazz yang dipercayai melanggar sisi pemandu sebuah kereta Proton Saga berdekatan simpang pusingan-U.
“Pemandu Saga seorang warga emas Jeffry Dujin Bansing, 71 disahkan meninggal dunia.
“Sementara penumpang Saga dan pemandu Honda Jazz mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Sri Aman oleh orang awam,” ujarnya.
Mereka dikenali sebagai Jelin @ Hillary Amak, 72 dan Mohammad Amri Ali, 32.



