SARIKEI: Tiga maut dalam nahas membabitkan dua pikap Toyota Hilux di Kilometer 431, Jalan Bulat (Pan Borneo) dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sarikei Superintendan Aswandy Anis berkata kejadian dilaporkan kira-kira jam 9 malam itu dipercayai berpunca daripada salah sebuah pikap terbabit yang membuat pusingan U dan dipercayai secara mengejut ke laluan utama.
“Keadaan tersebut menyebabkan Toyota Hilux berwarna putih yang datang dari arah Sibu menuju ke Sarikei gagal mengelak lalu melanggar bahagian sisi kiri Toyota Hilux berwarna hitam tersebut.
“Akibat kemalangan itu, pemandu serta dua penumpang Toyota Hilux berwarna hitam itu, iaitu lelaki berusia 33, 20 dan 41 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, katanya pemandu Toyota Hilux berwarna putih terbabit iaitu lelaki berusia 40 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Sarikei.
Justeru, Aswandy berkata pihaknya memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Mustaqim di talian 010-4427241 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Sarikei.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



