SARATOK: Tiga penagih dadah dicekup dalam Op Tapis Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok pada Selasa, dengan salah seorang mempunyai 19 rekod pelbagai jenayah lampau.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie, berkata suspek berusia 33 tahun yang mempunyai 19 rekod pelbagai jenayah lampau ditahan di Jalan Taran, Nyabor.


“Bertindak hasil maklumat awam, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok, ketika rondaan, memeriksa seorang lelaki dewasa di Jalan Taran, Nyabor yang dipercayai penagih dadah.
“Selepas ujian saringan air kencing, lelaki beralamat di Kota Samarahan itu disahkan positif dadah jenis amfetamin dan methamfetamin serta mempunyai 19 rekod pelbagai jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, dua lagi lelaki masing-masing berusia 44 dan 30 tahun ditahan di sebuah stesen minyak.
“Semasa rondaan, polis Saratok memeriksa sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan. Setelah diperiksa, didapati dua lelaki dewasa berkenaan dipercayai penagih dadah dan polis menjumpai peralatan untuk menagih dadah,” ujarnya sambil menambah bahawa masing-masing mempunyai rekod kes narkotik.
Tambah Mathew, ketiga-tiga mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Saratok untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


