KUCHING: Polis menahan tiga lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4,404 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dalam tempoh kurang 24 jam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsly Alexson Naga Chabu berkata, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hasil risikan serta maklumat orang awam.


“Serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 3.25 petang di kaki lima sebuah hotel di Jalan Tabuan yang membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 31 tahun.
“Hasil pemeriksaan polis merampas 5.15 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM566,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson berkata, serbuan kedua pada hari yang sama kira-kira jam 3.30 petang di kawasan parkir sebuah hotel di jalan yang sama membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 36 tahun bersama 5.83 gram syabu bernilai RM638.
Manakala dalam serbuan ketiga katanya, polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi di kawasan parkir hadapan sebuah kafe di Jalan Tun Jugah.
Pihak polis merampas 248.10 gram dadah disyaki serbuk MDMA yang dianggarkan bernilai RM3,200 dalam serbuan tersebut.
“Dua suspek pertama disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek ketiga disiasat mengikut Seksyen 39B akta sama.
“Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.



