JULAU: Tiga projek bernilai keseluruhan RM330,000 dilaksanakan bagi menaik taraf kemudahan asas dan infrastruktur di beberapa lokasi sekitar kawasan Meluan, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Datuk Rolland Duat Jubin berkata, projek berkenaan melibatkan penambahbaikan jalan kebun, kemudahan pendidikan, serta infrastruktur asas.
Katanya, antara projek itu ialah naik taraf Jalan Kebun di Rumah Jana yang membabitkan laluan sepanjang 1.5 kilometer.
“Projek bernilai RM100,000 ini dilaksanakan menerusi peruntukan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) bagi meningkatkan kemudahan perhubungan penduduk.”
“Satu lagi projek membabitkan kerja menaik taraf Tadika KEMAS Nanga Ijit dengan kos RM100,000,” katanya pada majlis penyerahan projek itu, hari ini.
Rolland berkata, kerja berkenaan memberi tumpuan kepada pembinaan sambungan bumbung awning bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada murid dan warga tadika.
Sementara itu katanya, projek ketiga di Rumah Lina, Jikang, Batu 17 melibatkan kerja membaiki bumbung dengan peruntukan RM130,000.
“Skop penambahbaikan turut meliputi kemudahan jalan kebun dan kaki lima bagi meningkatkan aspek keselamatan serta keselesaan penduduk.”
“Kesemua projek ini merupakan antara usaha berterusan untuk memperkukuh kemudahan asas dan prasarana di kawasan N.48 Meluan,” katanya.




