MIRI: Bandar raya Miri semakin hampir untuk bebas daripada ancaman banjir menerusi tiga projek utama mitigasi banjir yang sedang rancak dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Miri.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, dua projek mendapat kelulusan dan dijangka ditender tahun ini.
“Satu lagi projek sedang rancak dilaksanakan dengan kemajuan fizikal melebihi 70 peratus.
“Projek ini dijangka menyelesaikan sebahagian besar masalah banjir di Miri, namun penyelenggaraan berterusan tetap menjadi kunci,” katanya.
Tambah beliau, projek pertama ialah Rancangan Mitigasi Banjir Sungai Miri, yang bermula Oktober 2023.
“Projek ini mencapai kemajuan 71.53 peratus dan dijangka siap Mei 2026.
“Ia merangkumi pembinaan tembok penahan, stesen pam bergerak serta kerja mitigasi di Pangkalan Lutong dan Tanah Perkuburan Krokop,” ujarnya.
Selain itu, projek kedua dan ketiga menumpukan kepada saliran di kawasan seperti Sungai Dalam, Taman Lopeng, Kampung Pujut, Desa Senadin, Kampung Sealine, MCOT dan Lutong dan dijangka ditender tahun ini.
“Dengan projek-projek ini dan kerjasama semua pihak, kami yakin Miri akan lebih selamat daripada ancaman banjir pada masa akan datang,” jelasnya.
Dalam pada itu, langkah pascabanjir turut diberi perhatian, termasuk menampal jalan berlubang dan menaikkan paras jalan di kawasan rendah seperti Jalan Ilmu untuk keselamatan pengguna, terutamanya penunggang motosikal.
Menyentuh tentang pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), tiga PPS telah dibuka.
“PPS itu termasuklah di Dewan Pujut Tanjung Batu, Masjid Darul Imam Kampung Tudan Fasa Dua, dan Dewan Komuniti Tudan Fasa Empat,” ujarnya.



