KUCHING: Tiga buah sekolah di bawah program Sekolah Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima peruntukan khas berjumlah RM20,000 bagi melaksanakan pelbagai program yang memfokuskan aspek bahasa, sastera dan penerbitan.
Penyampaian cek cura disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Datuk Anwar Ridhwan, kepada wakil SMK Tun Abang Haji Openg, SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab dan SK Agama Abdul Kadir Hassan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Wan Hashim Wan Rahim, turut hadir menyaksikan penyampaian cek cura serta penyerahan sumbangan buku terbitan DBP kepada tiga buah sekolah berkenaan.
Usaha tersebut menunjukkan komitmen untuk memperkukuh penguasaan bahasa Melayu serta memupuk minat terhadap bidang kesusasteraan dan penerbitan dalam kalangan pelajar.
Hadir sama Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Hazami Jahari; Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, Yang Mulia Awang Suip Abdul Wahab; serta Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli.
Dalam pada itu, Majlis Malam Bahasa Jiwa Bangsa sempena Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 yang berlangsung di Hotel Pullman pada Isnin turut menyaksikan persembahan deklamasi sajak oleh barisan tetamu kehormat yang hadir.
Pelbagai persembahan turut disajikan termasuk penyampaian puisi oleh Sasterawan Negeri Sarawak, Dr Abang Patdeli Abang Muhi.
Selain itu, persembahan muzik oleh Sekolah Menengah Chung Hua No. 1, persembahan tarian oleh Kumpulan Bitara Seri Openg, persembahan puisi oleh Khalid Husseine Tuah dan persembahan nyanyian lagu rakyat oleh Safar Ghafar.
Program turut menampilkan persembahan daripada Pretty Nina dan aktiviti bermukun oleh Kumpulan Sri Pangkalan, sekali gus melabuhkan tirai program pada malam berkenaan.
Sementara itu, Malam Bahasa Jiwa Bangsa merupakan antara pengisian program kembara sempena ulang tahun ke-70 DBP yang bermula di Daro, diteruskan ke Gedong dan berakhir di Kuching, selaras dengan peranan Sarawak sebagai tuan rumah penganjuran tahun ini.

