BINTANGOR: Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Setubu, Sungai Kusin Pakan dekat sini, hari ini.
Kesemua mangsa yang berusia di antara 17 hingga 59 tahun terselamat dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, pasukan yang tiba di tempat kejadian yang sejauh 38 kilometer tidak dapat masuk ke dalam kerana keadaan jalan sempit dan tidak berturap.
“Susulan itu, kita menuju ke lokasi menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan apabila sampai, kebakaran sudah memusnahkan 90 peratus rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, seterusnya pihaknya melakukan operasi pemadaman bagi memastikan keadaan selamat sepenuhnya.
Dalam pada itu, ujarnya punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

