KUCHING: Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita warga asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan di sekitar bandar ini dalam satu operasi petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga berkata, dua lelaki tempatan dan wanita berkenaan yang berusia antara 28 hingga 33 tahun ditahan kira-kira 3 petang di dua lokasi berasingan iaitu di kawasan Tabuan Tranquility, Kuching serta Kampung Stass, Bau.
“Siasatan awal mendapati dua lelaki terbabit disyaki terlibat dalam beberapa kes kecurian kenderaan yang dilaporkan berlaku di sekitar bandar Kuching sejak kebelakangan ini.
“Wanita warga asing yang turut ditahan pula dipercayai merupakan teman wanita kepada salah seorang suspek lelaki,” katanya dalam kenyataan.
Alexson menambah, dalam operasi tersebut, polis turut merampas dua buah kenderaan iaitu sebuah Perodua dan sebuah Toyota yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah berkenaan.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati salah seorang suspek lelaki mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek lelaki positif dadah.
“Bagaimanapun, ujian saringan yang dijalankan terhadap suspek wanita didapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya.
Sehubungan itu kata Alexson, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Alexson menasihatkan orang awam supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah dan menggesa masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras jenayah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 082-244444,” katanya.

