Tiga tokan dadah di Bau dicekup

BAU: Tiga lelaki berdepan hukuman penjara dan sebat selepas ditangkap kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superintendan Sahar Abd Latif berkata tangkapan ke atas semua suspek dibuat dalam Operasi Sulit yang dijalankan pasukan JSJN Sarawak hari ini.

Menurut beliau, dua daripada suspek yang merupakan penganggur berusia 26 tahun dari Kampung Daun, Singai dan 23 tahun dari Kampung Bobak, Singai ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Sungai Tengah, Kampung Daun Sungai Tengah di sini sekitar jam 11.30 pagi.

Katanya hasil pemeriksaan menjumpai dadah jenis syabu seberat 6.25 gram dianggarkan bernilai RM1,000.

“Kedua-dua suspek dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah bermula awal tahun ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sahar berkata tangkapan terhadap kedua-dua suspek turut membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berusia 24 tahun yang beralamat di Taman Mutiara di sini dan merupakan seorang juruteknik.

Beliau menambah ketiga-tiga suspek juga didapati positif dadah jenis syabu dan amfetamin, selain masing-masing mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Katanya kesemua mereka kini dalam proses permohonan reman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan.

Dadah yang dirampas daripada suspek.

Suara Sarawak