ARTIKEL

Tiga wanita ditahan disyaki jadi ejen pertaruhan Piala Dunia 2026 di Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kemeriahan saingan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026 turut membuka ruang kepada kegiatan pertaruhan haram berikutan kejayaan polis menumpaskan tiga sindiket berasingan yang beroperasi di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, dalam operasi pada Khamis, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menahan tiga wanita terbabit.

“Suspek berusia antara 25 hingga 45 tahun itu terdiri daripada seorang wanita tempatan dan dua warga asing,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan dalam tiga serbuan berasingan hasil risikan dan pemantauan polis terhadap kegiatan perjudian platform dalam talian.

Beliau menambah, pemeriksaan mendapati sindiket terbabit menawarkan perkhidmatan pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026 menerusi aplikasi dan laman sesawang tertentu yang dipercayai beroperasi secara haram.

“Polis turut merampas beberapa telefon bimbit, dokumen berkaitan pertaruhan, peralatan yang dipercayai digunakan untuk mengendalikan transaksi perjudian serta sejumlah wang tunai.

“Siasatan awal mendapati suspek berperanan menguruskan pendaftaran pemain, menerima pertaruhan dan mengendalikan urusan transaksi bagi pihak sindiket.

“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati mereka negatif sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya.

Kesemua wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun.

“Dalam pada itu, dua suspek warga asing turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dokumen perjalanan dan kemasukan ke negara ini.

“Bagi kesalahan tersebut, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali serta sebatan tidak melebihi enam kali,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mencetuskan pelbagai masalah sosial termasuk ketagihan berjudi dan kerugian kewangan dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian haram diminta tampil membantu pihak berkuasa dengan menyalurkannya kepada IPD Kuching atau balai polis berhampiran.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU