Tikus banyak di terminal kargo LTAK.

KUCHING: Populasi tikus yang banyak di terminal kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) mendapat perhatian segera daripada Menteri Pengangkutan, Datuk Dr. Jerip Susil untuk ia dihapuskan.

Menurut Dr. Jerip, kehadiran tikus di kawasan terbabit sangat membimbangkan kerana selain boleh menyebarkan penyakit kencing tikus yang membahayakan nyawa, ia juga membawa risiko kepada keselamatan pesawat.

“Ini adalah ancaman kritikal yang harus ditangani segera..jangan biarkan ia (tikus) terus membiak di sini,” katanya pada sidang selepas melawat ke terminal kargo LTAK di sini, hari ini.

Isu tikus itu telah disuarakan oleh Penolong Pengarah Kanan Kastam Sargandang Liman kepada Dr. Jerip dalam sesi dialog sempena lawatan tersebut, dengan harapan ia ditangani segera.

Menurut beliau, keberadaan tikus di terminal kargo LTAK sudah berlarutan sejak enam tahun lepas di mana pernah menyebabkan seorang pegawai Kastam dijangkiti penyakit kencing tikus.

Dr. Jerip (tiga kanan) semasa melawat ke gudang Raya Airways di terminal kargo LTAK, di sini hari ini. Turut kelihatan Koruthu (kanan) dan Jun Iskandar (kiri) serta yang lain.

Malah, katanya beberapa wayar dalam pejabat Kastam di terminal tersebut juga telah rosak dan terputus angkara digigit oleh tikus.

Sehubungan itu, Dr. Jerip mengarahkan Jabatan Kesihatan untuk memantau dan mendapatkan maklum balas segera daripada terminal kargo dan Kastam berhubung masalah tersebut.

“Ini bukan sahaja isu kesihatan tetapi ia juga membahayakan keselamatan pesawat.

“Bayangkan jika tikus-tikus dari sini memasuki pesawat, ia boleh menyebabkan bahaya besar,” katanya.

 

Suara Sarawak